88 gangster ditahan di Sibu tahun ini

88 gangster ditahan di Sibu tahun ini

SIBU, 28 Dis – Polis Sibu telah menahan 88 individu yang disyaki terlibat dalam jenayah gangsterisme sepanjang tahun ini.

Angka yang direkodkan sehingga 26 Dis itu adalah hasil 57 serbuan yang dilakukan di 83 lokasi di bandar ini. Ini tidak termasuk 149 serbuan ke atas sarang judi dalam talian dan 28 serbuan ke atas premis nombor ekor haram, masing-masing merekodkan penahanan seramai 781 dan 33 suspek.

“Kegiatan judi dalam talian dan nombor ekor haram secara keseluruhannya telah berjaya dilumpuhkan,” kata Ketua Polis Daerah Sibu ACP Mohd Kamal Kordi di sini hari ini.

Menurut beliau, pihaknya turut melakukan pemeriksaan ke atas 30 pusat hiburan di sekitar bandar ini untuk memastikan ia selamat dikunjungi serta bebas daripada sebarang aktiviti jenayah.

Daripada pemeriksaan itu, 41 pengunjung telah ditahan kerana terbabit dengan pelbagai kesalahan.

Pada masa sama, Mohd Kamal berkata cabaran getir pihaknya pada masa ini ialah penyebaran maklumat palsu menerusi laman sosial sehingga memberi implikasi negatif terhadap jabatan kepolisan.

Berikutan itu, beliau meminta bantuan media menangkis berita palsu untuk meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap polis. – Bernama