88 terima sumbangan derma

88 terima sumbangan derma

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Feb – Seramai 60 orang fakir miskin bersama 28 anak yatim dari Mukim Sengkurong menerima sumbangan derma berupa barangan keperluan harian dalam satu majlis yang berlangsung di Masjid Sultan Sharif ’Ali, Sengkurong, hari ini.

Sumbangan tersebut, berupa beras dan barangan keperluan harian lain, adalah daripada Syarikat EZ Printing Sdn Bhd, para jemaah masjid tersebut serta orang ramai yang tinggal di Mukim Sengkurong.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama, Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Mohd Yusof yang juga telah menyampaikan sumbangan bantuan itu kepada para penerima.

Atur cara majlis dimulakan sejurus ketibaan tetamu kehormat dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan doa yang dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid Sultan Sharif ‘Ali, Awang Rozisham bin Haji Chuchu.

Tetamu kehormat (tengah) bersama pengerusi majlis pada majlis yang berlangsung di Masjid Sultan Sharif ’Ali, Sengkurong, kelmarin.
Tetamu kehormat (tengah) bersama pengerusi majlis pada majlis yang berlangsung di Masjid Sultan Sharif ’Ali, Sengkurong, kelmarin.
Tetamu kehormat ketika menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima.
Tetamu kehormat ketika menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima.
Sebuah kumpulan yang diamanahkan untuk menyampaikan sumbangan kepada penerima fakir miskin di rumah-rumah penerima masing-masing.
Sebuah kumpulan yang diamanahkan untuk menyampaikan sumbangan kepada penerima fakir miskin di rumah-rumah penerima masing-masing.

Ini diikuti dengan ucapan Pengerusi Majlis, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Masjid, Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh dan tazkirah bertajuk ‘Sedekah dan Kelebihannya’ yang disampaikan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid Daerah Brunei dan Muara, Haji Jamil bin Haji Abdul Gani.

Seterusnya, majlis menyaksikan penyampaian sumbangan derma kepada wakil Belia Kumpulan Syababul Iman Masjid Sultan Sharif ‘Ali Sengkurong untuk diserahkan kepada penerima rumah-rumah fakir miskin yang terpilih.

Tetamu kehormat juga menyampaikan sijil penghargaan dan cenderamata kepada para penyumbang.

Sebanyak empat kumpulan diberi tanggungjawab untuk mengagihkan sumbangan derma kepada rumah fakir miskin sekitar mukim tersebut, iaitu kumpulan ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Sultan Sharif Ali, Kumpulan Belia Syababul Iman Masjid Sultan Sharif Ali, Kumpulan Kejiranan Kampung Sengkurong ‘A’ dan ‘B’ serta kumpulan Sukarelawan Mukim Sengkurong.

ARTIKEL YANG SAMA