9.7 bilion menjelang 2050

9.7 bilion menjelang 2050

LONDON, 31 Julai (Reuters) – Populasi dunia akan mencecah 9.7 bilion menjelang 2050 dengan India menjadi negara paling ramai penduduk.

Menurut laporan terbaru Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dikeluarkan semalam, dalam tempoh 35 tahun akan datang, penduduk dunia akan bertambah 2.4 bilion hasil daripada kadar kesuburan tinggi di beberapa negara.

PBB menjangka jumlah penduduk dunia meningkat 11.2 bilion pada 2010.

Antara 2015 dan 2050, separuh daripada pertumbuhan itu tertumpu di India, Nigeria, Pakistan, Republik Demokratik Congo, Habsyah, Tanzania, Amerika Syarikat, Indonesia dan Uganda.

India akan mengatasi China sebagai negara paling ramai penduduk menjelang 2022 dan Nigeria diramal mempunyai lebih ramai penduduk berbanding Amerika Syarikat pada 2050.

Jumlah penduduk di 28 negara Afrika juga dijangka bertambah dua kali ganda dan menjelang 2100, beberapa negara akan menyaksikan penduduk bertambah lima kali ganda.

Pengarah Bahagian Populasi di Jabatan Hal Ehwal Ekonomi dan Sosial John Wilmoth berkata, kadar kesuburan yang tinggi di beberana negara paling miskin boleh mendatangkan masalah.

“Penumpuan pertambahan penduduk di negara paling miskin mewujudkan cabaran, meningkatkan lagi kesukaran untuk menghapuskan kemiskinan, memerangi kebuluran, menyediakan pendidikan serta sistem kesihatan,” katanya,

Laporan itu mendapati jumlah penduduk berusia lebih 60 meningkat dua kali ganda menjelang 2050 dan lebih lima kali ganda menjelang 2100.

Di Eropah, 34 peratus populasinya diramal berusia lebih 60 tahun dalam masa 35 tahun akan datang kerana penurunan kadar kesuburan dan peningkatan jangka hayat.

Jangka hayat di negara kurang membangun juga menunjukkan peningkatan, dari 56 tahun pada 2000 hingga 2005 kepada 62 tahun pada 2010 hingga 2015.