9 anak yatim terima sumbangan

9 anak yatim terima sumbangan

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Ogos – Seramai sembilan orang anak yatim dari Kampung Kiulap, hari ini, menerima sumbangan derma hasil daripada kutipan Jualan Ekspo Amal anjuran Majlis Perundingan Kampung (MPK) Kiulap yang berlangsung di The Airport Mall, Berakas.

Hadir menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim berkenaan ialah Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Awang Misle bin Haji Abdul Karim selaku tetamu kehormat majlis.

Pengerusi majlis, Haji Mohammad bin Haji Abu ketika ditemui berkata, sebanyak 22 petak jualan menyertai Jualan Ekspo Amal anjuran MPK Kiulap pada kali ini yang telah bermula semalam hingga 26 Ogos ini dan sebanyak 15 peratus hasil daripada bayaran sewa petak disumbangkan kepada anak-anak yatim yang bermastautin di Kampung Kiulap.

Beliau juga merasa amat bangga atas kejayaan MPK Kiulap yang mana telah banyak mengadakan aktiviti yang berfaedah bersama Biro Wanita Kampung Kiulap, semata-mata untuk membantu anak-anak yatim berkenaan.

“Seperti yang saya maklum bahawa Kampung Kiulap pada tahun ini melaksanakan jualan amal ini kali kelapan, dengan adanya acara ini juga sekali gus membawa orang ramai untuk sama-sama melakukan satu kebajikan dan membantu meringankan beban anak-anak yatim,” tambah beliau.

Awang Misle ketika menyampaikan sumbangan derma kepada salah seorang anak yatim Kampung Kiulap.
Awang Misle ketika menyampaikan sumbangan derma kepada salah seorang anak yatim Kampung Kiulap.
Sebanyak 22 petak jualan para pengusaha tempatan yang menyertai Jualan Ekspo Amal yang berlangsung sehingga 26 Ogos.
Sebanyak 22 petak jualan para pengusaha tempatan yang menyertai Jualan Ekspo Amal yang berlangsung sehingga 26 Ogos.

Selain membantu anak-anak yatim di Kampung Kiulap, ekspo yang dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Daerah Brunei dan Muara dan jabatan-jabatan kerajaan, pihak sekolah dan persatuan-persatuan itu juga bertujuan bagi memberi peluang kepada para peniaga kecil dan sederhana ataupun syarikat-syarikat berjaya memperkenalkan produk-produk mereka.

Di samping itu juga, untuk mengeratkan hubungan silaturahim di antara ahli-ahli jawatankuasa MPK dalam sama-sama menjayakan acara Jualan Ekspo Amal dan serta dengan pihak jabatan-jabatan kerajaan dan para peniaga.

Ekspo itu juga dimeriahkan dengan persembahan pentas daripada badan persatuan dan sekolah-sekolah yang dijemput, pertandingan membuat kikik (layang-layang) dan pameran kikik oleh Persatuan Kikik Brunei, senamrobik oleh Persatuan Kebudayaan Brunei, melukis muka dan banyak lagi.

ARTIKEL YANG SAMA