9 anggota polis disyaki terlibat kes pembunuhan

9 anggota polis disyaki terlibat kes pembunuhan

LIMA, Peru, 23 Ogos – Kerajaan Peru pada malam semalam berkata bahawa siasatan awalnya ke atas dakwaan skuad tembak polis yang telah mengenal pasti sembilan orang pegawai, termasuklah seorang jeneral yang dikatakan menjadi dalang kehilangan kira-kira 20 orang awam sejak 2012.

Laporan awal yang begitu dinantikan itu muncul ketika ulasan-ulasan Menteri Dalam Negeri yang baru, Carlos Basombrio bahawa terdapat bukti kukuh para pegawai polis menjalankan skuad tembak di beberapa kawasan di negara itu untuk mendapatkan kenaikan pangkat dan faedah lain.

Pendedahan itu mencetuskan desakan lebih lantang bagi pembaikan pulih pasukan polis Peru yang telah dibelenggu rasuah dan penglibatan dalam jenayah terancang di bawah bekas Presiden Ollanta Humala.

Mereka yang dibunuh pada awalnya dibayangkan sebagai penjahat berbahaya yang terlibat dalam jenayah seperti rompakan bank dan penculikan. Namun Timbalan Menteri Dalam Negeri Ruben Vargas berkata pada sidang media bahawa 11 dari 20 orang yang dibunuh tidak mempunyai rekod jenayah dan menuduh para pegawai memalsukan laporan perisikan.

Vargas tidak mendedahkan mana-mana nama para pegawai yang sedang disiasat tetapi mengatakan salah seorang dari mereka pernah dikurniakan pingat enam kali kerana perkhidmatannya.

Media yang diterajui oleh surat khabar La Republica kali pertama mengeluarkan dakwaan ini bulan ini, bahawa sebanyak 90 orang pegawai dikatakan telah terlibat.

Bilangan itu tidak dipertikaikan oleh kerajaan dan laporan mengatakan itu termasuklah para pegawai berkedudukan lebih rendah yang terlibat dalam operasi kegiatan itu.

Basomrio menyamakan pembunuhan itu dengan versi skala lebih rendah yang digelar kes-kes ‘positif palsu’ yang mengejutkan Colombia sedekad lalu, yang mana seramai-ramainya 3,000 orang awam dibunuh oleh pasukan kerajaan dan dibayangkan dengan salah sebagai pemberontak untuk menambah bilangan mayat yang membawa kepada kenaikan pangkat dan bonus. – AFP