9 daripada 10 penduduk dewasa Malaysia hidapi penyakit periodontal, karies

9 daripada 10 penduduk dewasa Malaysia hidapi penyakit periodontal, karies

PUTRAJAYA, 20 Mac (Bernama) – Kajian yang dilakukan Kementerian Kesihatan mendapati sembilan daripada 10 penduduk dewasa negara ini mempunyai penyakit periodontal dan karies gigi.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata 40 hingga 75 peratus pelajar sekolah mempunyai karies gigi dan 76 peratus daripada kanak-kanak berusia lima tahun pernah menghadapi masalah itu.

“Kesedaran mengenai kebersihan gigi masih kurang memuaskan dalam kalangan rakyat Malaysia. Ramai hanya akan datang ke klinik pergigian mendapatkan perkhidmatan apabila mempunyai masalah gigi.

“Oleh itu, kementerian akan mempergiatkan usaha meningkatkan kesedaran agar rakyat Malaysia mendapatkan perkhidmatan pergigian sebagai langkah pencegahan dan meningkatkan kesihatan pergigian,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Hari Kesihatan Oral Dunia di sini Ahad.

Turut hadir Pengarah Kanan Kesihatan Pergigian, Dr Noor Aliyah Ismail, Presiden Persatuan Pergigian Malaysia, Dr John Ting Sii Ong dan Pengerusi Penganjur, Dr Ng Woan Tyng.

Dr Hilmi berkata tujuh peratus daripada orang dewasa negara ini hilang kesemua gigi asal mereka.

“Kira-kira 30 peratus penduduk dewasa Malaysia didapati mempunyai masalah kesihatan mulut yang menjejaskan kehidupan mereka seperti masalah keyakinan, sukar berinteraksi dan sakit ketika makan,” katanya.

Sementara itu, Dr Hilmi berkata kementerian bercadang menambah 10 klinik pergigian bergerak tahun ini sebagai langkah memudahkan akses kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan pergigian.

Ketika ini, katanya, terdapat 36 klinik pergigian bergerak di negara ini. Dr Hilmi juga berkata ketika ini terdapat 6,384 doktor gigi di klinik kerajaan dan swasta di seluruh negara.

“Ketika ini purata doktor pergigian dan pesakit adalah 1:5112 dan Malaysia dijangka mencapai purata 1:3000 menjelang 2020,” katanya.