9 kelahiran sempena HKK

9 kelahiran sempena HKK

Oleh Hajah Saemah Kepli, Siti Nur Wasimah S. & Normazlina M.D

Gambar Oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Mei – Seramai sembilan orang anak damit, iaitu empat lelaki dan lima perempuan dilahirkan pada 1 Mei tahun ini di negara ini sempena Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan (HKK) 2016.

Sehubungan dengan itu, Majlis Penyampaian Cenderamata Kelahiran ‘Anakku, Harapanku’ sempena dengan Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan 2016 telah diadakan hari ini secara serentak di keempat-empat daerah.

Majlis penyampaian cenderamata bagi kelahiran anak damit di Daerah Brunei dan Muara berlangsung di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) petang ini dan disempurnakan oleh isteri kepada Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datin Paduka Hajah Jahrah binti Haji Mohammad.

Di Daerah Brunei dan Muara, enam orang anak damit telah dilahirkan di Hospital RIPAS, iaitu tiga lelaki dan tiga perempuan.

Hospital RIPAS turut mencatatkan kelahiran anak damit pertama sekali pada 1 Mei 2016, iaitu seorang anak damit perempuan pada jam 4:19 pagi. Anak perempuan ini ialah anak sulung kepada pasangan Awang Abdul Rawi bin Haji Metarsad dan Dayang Siti Amalina binti Haji Alias.

Datin Paduka Hajah Jahrah menyampaikan cenderahati kepada anak-anak damit ‘Anakku, Harapanku’.
Datin Paduka Hajah Jahrah menyampaikan cenderahati kepada anak-anak damit ‘Anakku, Harapanku’.
Penyerahan cenderahati ‘Anakku Harapanku’ oleh isteri Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datin Hajah Kalshom di Hospital, Suri Seri Begawan, Kuala Belait.
Penyerahan cenderahati ‘Anakku Harapanku’ oleh isteri Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datin Hajah Kalshom di Hospital, Suri Seri Begawan, Kuala Belait.

Manakala bagi Daerah Belait pula, majlis berkenaan telah diadakan di Hospital Suri Seri Begawan, Kuala Belait dan telah disempurnakan oleh isteri kepada Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datin Hajah Kalshom binti Haji Suhaili.

Hospital tersebut mencatatkan kelahiran dua orang anak damit iaitu seorang anak damit lelaki dan perempuan pada 1 Mei tahun ini. Anak damit lelaki merupakan anak kepada pasangan Awang Mohd Sahli Hazlan bin Haji Sidop dan Dayang Nurul Farhanah binti Haji Mahidi, manakala anak damit perempuan pula anak kepada pasangan suami isteri Awang Sufian bin Haji A.Amid dan Dayang Normelati binti Haji Rosli @ Haji Sidop.

Bagi Daerah Tutong pula, Majlis Penyampaian Cenderamata Kelahiran ‘Anakku, Harapanku’ telah berlangsung di Hospital Pengiran Muda Makhota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Tutong, dan disempurnakan oleh isteri kepada Menteri Kesihatan, Datin Hajah Sarimah binti Haji Umar.

Tahun ini, hospital berkenaan mencatatkan hanya satu kelahiran anak damit perempuan pada 1 Mei 2016 iaitu anak kepada pasangan Awang Mohd Sofian bin Haji Simpul dan Dayang Hafizah binti Sulaiman.

Datin Hajah Sarimah menyampaikan cenderamata kelahiran kepada Dayang Hafizah di Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Tutong.
Datin Hajah Sarimah menyampaikan cenderamata kelahiran kepada Dayang Hafizah di Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Tutong.
Antara pasangan yang menerima cenderahati sempena kelahiran anak mereka.
Antara pasangan yang menerima cenderahati sempena kelahiran anak mereka.

Manakala di Daerah Temburong pula tiada mencatatkan kelahiran anak damit.

Pada majlis-majlis yang diadakan secara berasingan petang tadi, keluarga anak-anak damit berkenaan telah menerima cenderamata berupa barangan keperluan anak damit.

Majlis Penyampaian Cenderamata Kelahiran ‘Anakku, Harapanku’ merupakan salah satu usaha Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri selaku penganjur bersama Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan 2016 bagi memeriahkan lagi sambutan tersebut.

Di samping itu juga, pemberian cenderamata itu diharap menjadi pendorong kepada semua masyarakat di negara ini untuk menyayangi dan menghargai anak-anak bermula dati kelahiran lagi sebagai satu anugerah Allah S.W.T yang bermakna dalam kehidupan sebuah keluarga.

Pemberian cenderamata kelahiran ‘Anakku, Harapanku’ tahun ini adalah anjuran keempat diadakan bersempena dengan Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan dengan pemberian kali pertama berlangsung pada 2013.

ARTIKEL YANG SAMA