9 maut hujan lebat landa selatan China

9 maut hujan lebat landa selatan China

BEIJING, 10 Mei (Xinhua) – Sekurang-kurangnya sembilan orang dilaporkan mati dan tiga lagi hilang selepas hujan lebat melanda selatan China selama beberapa hari, mengganggu laluan jalanraya dan menjejaskan berjuta-juta penduduk di rantau itu.

Hujan bermula minggu lalu di Chongqing, Fujian, Guangxi, Hubei, Hunan, Jiangxi dan berterusan hingga semalam, menurut Pusat Meteorologi Kebangsaan (NMC)

Di Hunan, dua orang meninggal dunia – seorang daripadanya terkena pancaran kilat – dan sebanyak 6,555 orang telah dipindahkan. Hujan telah menyebabkan banjir, terputusnya bekalan api elektrik dan tanah runtuh.

Di Hubei, hujan, hujan batu dan angin kencang menyebabkan seorang mati dan dua yang lain hilang. Kerugian ekonomi dianggarkan kira-kira 45 juta yuan (AS$7 juta).

Di Jiangxi, hujan lebat telah menyebabkan tiga kematian dan seramai 14,000 penduduk dipindahkan. Kira-kira 500 buah rumah telah dimusnahkan oleh hujan dan kerugian ekonomi dianggarkan sebanyak 740 juta yuan.

Penyelamat membawa mayat mangsa di perkampungan Xiaqian di bawah kawasan perbandaran Xiaohui daerah Jianyang di bandar Nanping, wilayah Fujian di tenggara China, Isnin lalu. – Xinhua
Penyelamat membawa mayat mangsa di perkampungan Xiaqian di bawah kawasan perbandaran Xiaohui daerah Jianyang di bandar Nanping, wilayah Fujian di tenggara China, Isnin lalu. – Xinhua

Di Guangxi, seorang mati dan yang lain hilang selepas hujan lebat melanda tujuh bandar. Seramai 12,200 orang telah dipindahkan. Hujan merosakkan lebih 1,000 buah rumah dan menyebabkan kerugian ekonomi yang dianggarkan sebanyak 278 juta yuan.

Sungai-sungai di wilayah yang terjejas semakin meningkat naik dan amaran banjir telah dikeluarkan.

NMC pada Ahad lalu memperbaharui amaran biru bagi badai hujan, dan berkata hujan lebat akan berterusan di Fujian, Guangxi, Guizhou, Hunan, Jiangxi, dan Zhejiang dalam tempoh dua hari akan datang.

China mempunyai sistem amaran empat peringkat warna kod bagi cuaca yang teruk, dengan warna merah adalah paling serius, diikuti dengan oren, kuning dan biru.

ARTIKEL YANG SAMA