9 maut serangan di selatan Filipina

9 maut serangan di selatan Filipina

MANILA, 27 Dis – Kumpulan pemberontak Islam yang berpecah telah membunuh sembilan orang awam di selatan Filipina dalam siri-siri serangan sebelum Krismas, menurut para pegawai semalam, dalam peringatan bahawa rantau itu masih mudah terdedah kepada bahaya di sebalik perolehan dalam proses damai.

Pasukan tentera telah membunuh empat anggota kumpulan Pejuang Kebebasan Islam Bangsamoro, puak yang membantah perjanjian damai antara kerajaan dan kumpulan pemberontak Islam aliran utama, selepas mereka menyerang sebuah bandar perladangan di wilayah Sultan Kudarat di pulau selatan, Mindanao.

Miriam Ferrer, ketua perunding kerajaan dalam rundingan damai dengan Barisan Pembebasan Islam Moro, berkata tujuh orang petani ditembak pada jarak dekat ketika bekerja di sawah padi mereka dan dua orang awam lagi dibunuh dalam serangan bom tangan di gereja kecil berhampiran wilayah North Cotabato.

Ferrer berkata para pemberontak juga menjadikan orang awam tebusan dalam serangan Sultan Kudarat dan menggunakan mereka sebagai perisai manusia apabila tentera-tentera memburu mereka, tetapi para tebusan dibebaskan kemudian.

Kumpulan Bangsamoro berpecah dari kumpulan pemberontak utama Islam dalam tahun 2011 untuk berjuang bagi pembentukan sebuah kerajaan Islam di selatan negara itu yang kebanyakan rakyatnya beragama Katolik, satu matlamat yang dikongsi sama oleh sebuah lagi kumpulan militan kecil, Abu Sayyaf, yang telah terkenal dengan pengeboman, pemancungan kepala dan penculikan warga asing di bahagian barat Mindanao.

Gencatan senjata dengan kumpulan utama Barisan Pembebasan Islam Moro bagaimanapun ditangguhkan, sementara kerajaan dan gerila komunis mengisytiharkan gencatan senjata 12 hari bermula 23 Disember di seluruh negara untuk menandakan Krismas dan cuti tahun baru. Semalam, kumpulan pemberontak diketuai Maois juga memperingati ulang tahunnya ke 46.

Pasukan keselamatan dalam langkah berjaga-jaga sekitar gedung membeli belah, gereja, stesen bas dan terminal feri ketika percutian itu untuk mengawal dari kemungkinan serangan.

Para pegawai polis berkata kumpulan di sebalik serangan sebelum Krismas di Mindanao telah bersumpah kesetiaan kepada militan kumpulan Islam IS di Timur Tengah dalam video yang dihantar ke YouTube tetapi mereka tidak ada bukti mengaitkan mereka langsung dengan militan-militan dari kumpulan Islam IS di Iraq dan Syria. Mereka juga tidak ada bukti mana-mana warga Filipina telah pergi ke Timur Tengah untuk berjuang bersama IS. – Agensi