9 maut terkena tembakan

9 maut terkena tembakan

MUZAFFARABAD, Pakistan, 23 Nov – Sekurang-kurangnya sembilan orang terbunuh dan tujuh yang lain cedera dalam kejadian tembakan antara sempadan yang terkena sebuah bas Pakistan di Kashmir hari ini, kata pegawai, dalam pertempuran kecil terbaru di antara India dan Pakistan.

Kejadian itu berlaku sehari selepas India berkata tiga tenteranya telah pun dibunuh oleh tentera Pakistan dan mengugut akan ‘menyerang balas’, satu dakwaan yang ditolak oleh Pakistan.

Keganasan pada hari ini berlaku di kampung Nagdar di Lembah Neelum di Kashmir yang ditadbir oleh Pakistan.

Pegawai pentadbiran tempatan Sardar Waheed berkata tembakan masih berterusan, sekali gus menghalang ambulans daripada tiba di tempat kejadian.

“Tentera India menyasarkan sebuah bas awam berhampiran LoC (Garis Kawalan) di Lembah Neelam,” kata tentera dalam satu kenyataan yang dihantar menerusi e-mel.

Warga Kashmir Pakistan menghantar mangsa cedera dari bas penumpang yang terkena tembakan rentas sempadan, di hospital tentera di Muzaffarabad pada 23 November. – AFP
Warga Kashmir Pakistan menghantar mangsa cedera dari bas penumpang yang terkena tembakan rentas sempadan, di hospital tentera di Muzaffarabad pada 23 November. – AFP

Dalam kenyataan berasingan, ia berkata ‘tembakan sengit’ sedang berterusan.

“Jumlah kematian dalam kejadian tembak-menembak itu adalah sembilan orang buat masa sekarang,” beritahu ketua polis Lembah Neelam Jmail Mir kepada AFP.

“Sekurang-kurangnya sembilan orang telah terbunuh dan tujuh yang lain cedera,” beritahu speaker badan perundangan Kashmir Pakistan, Shah Ghulam Qadir, pada persidangan akhbar di Muzaffarabad.

Beliau menuduh India ‘sengaja menyasarkan’ orang awam.

Semalam, tentera India menuduh Pakistan menghantar askar di LoC, sempadan de facto yang membahagikan Kashmir, dan membunuh tiga daripada tenteranya, menambah salah satu mayat telah ‘dicacatkan’.

Namun Pakistan menolak dakwaan tersebut dalam beberapa siri tweet daripada jurucakap kementerian luar negeri lewat semalam, menggelarnya ‘tidak berasas’ dan ‘palsu’. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA