9 pelajar Thailand tamat kursus akuakultur

9 pelajar Thailand tamat kursus akuakultur

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Mei – Sekumpulan sembilan pelajar dari Kolej Perikanan Tinsulanonda, Thailand, baru-baru ini, telah berjaya menamatkan kursus latihan di Golden Corporation Sdn Bhd, di sini.

Sijil-sijil penghargaan kepada para pelajar berkenaan telah disampaikan oleh Pengarah Urusan Golden Corporation Sdn Bhd, Richard Chuang Hsi Shan pada penghujung kursus latihan tersebut.

Kolej Perikanan Tinsulanonda merupakan kolej perikanan pertama di bawah Suruhanjaya Pendidikan Vokasional dan menyediakan dua kursus utama, iaitu Akuakultur dan Pemprosesan Ikan, kedua-duanya pada peringkat sijil kebangsaan dan diploma.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan di sini, sembilan pelajar berkenaan telah mempunyai Diploma Kebangsaan dalam bidang ini dan telah menjalani latihan selama 60 hari di beberapa bahagian Golden Corporation Sdn Bhd.

Digelar Pusat Pelbagai Guna Pemprosesan dan Perniagaan Sumber-sumber Marin, kemudahan berkenaan adalah hasil daripada kerjasama di antara Semaun Marine Resources Sdn Bhd dan pelabur langsung asing Golden Corporation Sdn Bhd, dan terletak di Estet Perindustrian Serambangun, Tutong, di mana tumpuan perniagaan utamanya adalah ikan dan udang.

Pelajar Kolej Perikanan Tinsulanonda, Thailand bergambar ramai setelah berjaya menamatkan kursus latihan di Golden Corporation Sdn Bhd.
Pelajar Kolej Perikanan Tinsulanonda, Thailand bergambar ramai setelah berjaya menamatkan kursus latihan di Golden Corporation Sdn Bhd.

Sepanjang kursus latihan itu, para pelajar dilatih di sebuah ladang udang Brunei bagi pembiakan dan pengangkutan (ke kolam bagi pematangan) anak-anak udang.

Selain itu, mereka juga dilatih mengenai perkembangan dan pemprosesan ikan dan surimi.

Di samping ladang udang dan kilang pemprosesan mentah, pusat berkenaan juga dilengkapi dengan makmal di mana para pelajar belajar bagaimana menjalankan ujian kimia dan mikrobiologi bagi memastikan kualiti produk memenuhi standard antarabangsa.

Kursus berkenaan telah dimulakan oleh Pengarah Kolej Perikanan Tinsulanonda, Thailand, Sermsak Nilwilai.

Pusat berkenaan mula beroperasi pada Jun 2012 dan merupakan satu-satunya pengeluar produk makanan laut berintegrasi penuh di Brunei. Ia juga merupakan syarikat pertama yang menghasilkan makanan organik dan membiakkan udang biru organik.

ARTIKEL YANG SAMA