9 pemain terbaik dunia beraksi di LPGA Malaysia

9 pemain terbaik dunia beraksi di LPGA Malaysia

KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) – Sembilan daripada 10 pemain ranking terbaik dunia dalam Jelajah Persatuan Golf Profesional Wanita (LPGA) mengambil bahagian di Kejohanan Sime Darby LPGA Malaysia tahun ini.

Kejohanan edisi keenam tahun ini menjanjikan aksi lebih sengit dengan penyertaan barisan bintang dalam pertarungan empat hari itu.

Barisan bintang LPGA itu diketuai pemain nombor satu dunia, Park Inbee dari Korea Selatan, Lydia Ko (2), Stacy Lewis (3), So Yeon Ryu (4), Lexi Thompson (5), Kim Hyo-Joo (6), Feng Shanshan (7), Amy Yang (9) dan Suzann Pettersen (10).

Selain Shanshan dari China yang juga penyandang juara, Thompson juara 2013 dan Inbee juara 2012, turut beraksi adalah satu lagi bekas juara Choi Na Yeon yang menjuarainya pada 2011.

Pertarungan paling menarik di kejohanan ini pastinya membabitkan saingan tiga penjuru antara Inbee, Lydia dan Stacy, dengan masing-masing mahu menambah koleksi kejuaraan mereka musim ini.

Bagi Inbee yang telah memenangi lima gelaran tahun ini, saingan seperti itu memberi lebih semangat untuknya mendapatkan keputusan lebih baik.

“Ia sudah pasti. Sejak beberapa tahun lalu mereka yang memberi saingan sering bertukar tetapi saya tetap berjaya. Ia satu penghormatan untuk saya mencapai kedudukan nombor satu setiap tahun. Sebenarnya ia satu motivasi yang baik. Jika anda mempunyai pesaing yang sering mencabar, pasti permainan anda akan bertambah baik. Sudah tentu anda tidak boleh kekal begitu untuk berjaya, sebaliknya perlu meningkatkan permainan untuk menjadi lebih baik,” katanya.

Juara 2012 itu berkata dia gembira untuk kembali ke Malaysia selepas terlepas peluang beraksi tahun lalu kerana melangsungkan perkahwinannya.

“Saya gembira kembali ke sini selepas mengetepikan kejohanan ini kerana perkahwinan saya tahun lalu…saya pernah muncul juara pada 2012.

ARTIKEL YANG SAMA