9 pendaki Nepal berjaya tawan Everest

9 pendaki Nepal berjaya tawan Everest

KATHMANDU, 12 Mei (AFP) – Seramai sembilan warga Nepal menjadi kumpulan pendaki pertama berjaya menawan kembali puncak Gunung Everest selepas dua tahun terpaksa ditutup akibat gempa bumi teruk.

Kumpulan itu sampai ke puncak pada jam 5.02 petang sambil membaiki tali sebagai persediaan pendaki asing yang akan mula mendaki gunung itu minggu depan selepas dilanda tragedi pada 2014 dan 2015.

“Sekumpulan sembilan warga Nepal berjaya menyiapkan laluan dan sampai ke puncak Everest,” kata Ketua Pengarah Jabatan Pelancongan Nepal, Sudarshan Prasad Dhakal kepada AFP.

“Ia sekali gus membuka peluang kepada pendaki lain untuk sampai ke puncak sama. Ini adalah berita yang sangat baik selepas dua tahun dilanda bencana alam dan laluan ke Everest juga selamat,” katanya.

Gambar fail bertarikh 19 Februari 2016 menunjukkan sekumpulan pengembara yang membuat perjalanan mereka ke Dingboche, kem Gunung Everest yang popular, di Pangboche, Nepal. – AP
Gambar fail bertarikh 19 Februari 2016 menunjukkan sekumpulan pengembara yang membuat perjalanan mereka ke Dingboche, kem Gunung Everest yang popular, di Pangboche, Nepal. – AP

Ratusan pendaki meninggalkan pergunungan itu tahun lalu selepas runtuhan salji yang dicetus gempa bumi membunuh 18 orang di kem persediaan Everest.

Hanya seorang pendaki mencapai kemuncaknya pada 2014 selepas runtuhan salji membunuh 16 orang pemandu warga Nepal. Warga China, Wang Jing telah mencapai bahagian atas gunung tersebut selepas menggunakan helikopter untuk mengangkut peralatan khemah ke kem-kem yang lebih tinggi berikutan penutupan musim pendakian tahunan

Nepal telah mengeluarkan 289 permit untuk pendaki gunung bagi pendakian musim bunga tahun ini, yang berlangsung dari pertengahan bulan April hingga akhir Mei.

ARTIKEL YANG SAMA