9 penerbangan dibatalkan berikutan jerebu

9 penerbangan dibatalkan berikutan jerebu

KUCHING, 17 Sept (Bernama) – Sehingga 3 petang ini, empat penerbangan ketibaan dan lima perlepasan dibatalkan di Lapangan Terbang Antarabangsa (LTAB) Kuching akibat jarak ketampakan yang terhad berikutan jerebu.

Pengurus lapangan terbang itu, Mohd Nadzim Hashim berkata sektor terlibat ialah Kuching-Tanjung Manis-Kuching, Kuala Lumpur-Kuching-Kuala Lumpur, Kuching-Pontianak-Kuching, Kuching-Mulu-Kuching dan Mulu-Kuching, yang membabitkan 110 penumpang syarikat penerbangan MAS.

Beliau berkata 18 penerbangan mengalami kelewatan, yang terdiri daripada tujuh perlepasan dan 11 ke-tibaan, membabitkan 2,478 penumpang syarikat penerbangan MAS, AirAsia, Expressair dan Malindo.

“Semua penumpang yang menggunakan penerbangan melalui LTAB Kuching dinasihatkan menyemak jadual penerbangan dengan syarikat penerbangan masing-masing sebelum ke lapangan terbang,” katanya dalam kenyataan di sini.

Setakat 3 petang ini, Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Kuching mencatat bacaan 195, iaitu kualiti udara tidak sihat, manakala Samarahan satu-satunya tempat mencatatkan kualiti udara sangat tidak sihat, menjangkau IPU 205.