9 terpilih jadi pembantu marbut

9 terpilih jadi pembantu marbut

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Mei – Untuk memberikan peluang pekerjaan kepada rakan seliaan yang belum bekerja dalam aspek ekonomi bagi menjamin masa depan mereka, sembilan rakan seliaan akan menjalankan penempatan sebagai pembantu marbut di masjid-masjid dan surau terpilih.

Sehubungan itu, majlis penandatanganan bagi penempatan berkenaan telah diadakan di Masjid Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, di sini, hari ini.

Hadir menyaksikan penandatanganan berkenaan ialah Pemangku Penolong Pengarah, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Haji Sham bin Haji Mohd Amin; Pemangku Pengarah Jabatan Penjara, Haji Ismail bin Haji Murat; Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Haji Brahim bin Haji Ismail dan para pegawai dan kakitangan dari jabatan-jabatan yang terlibat.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, majlis penandatanganan ini adalah susulan daripada kursus intensif marbut iaitu program khusus tajaan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dengan kelolaan bersama Jabatan Penjara dan Jabatan Hal Ehwal Masjid.

Rakan seliaan menandatangani perjanjian dengan disaksikan oleh Haji Sham.
Rakan seliaan menandatangani perjanjian dengan disaksikan oleh Haji Sham.
Antara yang hadir menyaksikan majlis penandatangan bagi penempatan tersebut.
Antara yang hadir menyaksikan majlis penandatangan bagi penempatan tersebut.

Penempatan bagi rakan seliaan ini juga bertujuan untuk membentuk rakan seliaan yang berketerampilan dan berkeyakinan tinggi dalam semua aspek di samping membentuk sahsiah diri, sifat kepimpinan serta cara pengurusan yang efektif.

Di samping itu, melahirkan rakan seliaan yang bertanggungjawab kepada diri serta keluarga, agama, bangsa, dan negara serta dapat melahirkan rakan seliaan untuk mempunyai kemahiran nilai, sikap, etika dan profesionalisme, menunjukkan tingkah laku profesional sesuai dengan etika kerjaya dalam melaksanakan tanggungjawab dengan integriti dan amanah dan menunjukkan sikap yang sangat baik.

Menurut kenyataan itu, para pembantu marbut ini akan menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan dengan mengikut arahan dari semasa ke semasa daripada ketua imam masjid-masjid di mana mereka ditempatkan, dan mereka juga akan dipantau secara berterusan oleh pegawai-pegawai Perkhidmatan Kaunseling dan Seliaan, Jabatan Penjara.

Dengan ini, Perkhidmatan Kaunseling dan Seliaan, Jabatan Penjara melahirkan harapan agar para rakan seliaan khususnya yang terpilih untuk mengikuti penempatan berkenaan dapat memanfaatkan sepenuhnya peluang yang diberikan itu.

Program ini memberikan peluang dan membantu rakan seliaan dalam memperolehi sesuatu pekerjaan yang bersesuaian serta mempermudahkan lagi proses pengintegrasian mereka semula ke dalam masyarakat dengan menyemai nilai-nilai yang terpuji dan akhlak yang mulia.

Usaha yang berkebajikan ini diharap akan membuka ruang pada usaha kerjasama yang padu dan kolektif dalam sama-sama menjayakan program pengintegrasian bekas banduan ke dalam keluarga dan masyarakat serta menghindarkan mereka daripada melakukan aktiviti-aktiviti yang boleh menyebabkan kemasukan berulang ke dalam penjara.

ARTIKEL YANG SAMA