9 van baru tingkat kualiti perkhidmatan

9 van baru tingkat kualiti perkhidmatan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Mei – Jabatan Perkhidmatan Pos kini mempunyai sembilan unit kenderaan pos baru iaitu Van Mitsubishi L-300 Cargo yang disediakan oleh Syarikat GHK Motors Sdn Bhd Bhd secara sewa selama lima tahun, yang dihasratkan untuk meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan jabatan berkenaan kepada pelanggan mereka khususnya orang ramai.

Sehubungan dengan itu, Majlis Menepung Tawar kenderaan-kenderaan berkenaan telah diadakan semasa pembukaan rasmi Pejabat Pos Rimba di Kampung Rimba, Mukim Gadong, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan acara menepung tawar kenderaan berkenaan ialah Menteri Perhubungan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Hamzah Pahlawan Dato Seri Setia Haji Abdullah bin Begawan Mudim Dato Paduka Haji Bakar.

Turut hadir ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara iaitu Pengarah Urusan GHK Motors Sdn Bhd, Yang Berhormat Pehin Kapitan Lela Diraja Dato Paduka Goh King Chin dan Penghulu Mukim Gadong ‘A’, Yang Berhormat Haji Tahamit bin Haji Nudin, Setiausaha Tetap di Kementerian Perhubungan, Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohd Yusof, Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Perhubungan, Awang Mohd Riza bin Dato Paduka Haji Mohd Yunos, para pengarah, ketua, timbalan ketua jabatan, pegawai kanan, pegawai dan kakitangan kerajaan serta jemputan khas.

Barisan van pos baru yang disediakan oleh GHK Motors Sdn Bhd secara sewa.
Barisan van pos baru yang disediakan oleh GHK Motors Sdn Bhd secara sewa.
Yang Berhormat Pehin menepung tawar salah sebuah kenderaan pos baru.
Yang Berhormat Pehin menepung tawar salah sebuah kenderaan pos baru.
Yang Berhormat Pehin Goh King Chin menepung tawar salah sebuah kenderaan pos baru di majlis yang diadakan di Kampung Rimba, Gadong, kelmarin.
Yang Berhormat Pehin Goh King Chin menepung tawar salah sebuah kenderaan pos baru di majlis yang diadakan di Kampung Rimba, Gadong, kelmarin.

Di majlis berkenaan acara menepung tawar dimulakan oleh Yang Berhormat Pehin Haji Abdullah dan diikuti oleh Yang Berhormat Pehin Goh King Chin serta para jemputan khas yang lain.

Menurut Jabatan Perkhidmatan Pos, projek kenderaan secara sewa itu dilaksanakan untuk mengimbangi kos penyelenggaraan kenderaan-kenderaan pos bagi memberikan perkhidmatan yang lebih cekap dan kos efektif.

Ketua Pos Agung, Haji Mohamad Manan bin Haji Lakim berkata, “Ia juga sejajar dengan strategik objektif Kementerian Perhubungan, dalam meningkatkan kerjasama dan penyertaan swasta-awam dalam mempertingkatkan mutu perkhidmatan.”

Dengan penyewaan itu, jabatan berkenaan berharap ia dapat membantu meningkatkan kualiti perkhidmatan yang akan diberikan kepada orang ramai khususnya dalam penyerahan surat dan bungkusan.

Menurut GHK Motors, van Mitsubishi L-300 Cargo itu dilengkapi dengan enjin diesel 2.5 liter dan pada masa ini merupakan van terlaris di pasaran tempatan.