90 jemaah Kg Mata-Mata hadiri ceramah Akta Keluarga Islam 1999

90 jemaah Kg Mata-Mata hadiri ceramah Akta Keluarga Islam 1999

Oleh Normazlina M.D

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Nov – Jawatankuasa Takmir Balai Ibadat Kampung Mata-Mata, Gadong, kelmarin telah menganjurkan ceramah khas bertajuk ‘Memahami Akta Undang-undang Keluarga Islam 1999 Penggal 217 ‘ Bahagian Pertama yang diadakan di balai ibadat berkenaan.

Kira-kira 90 jemaah serta Ketua Kampung Mata-Mata, Gadong, Haji Metali bin Haji Khamis hadir mendengarkan ceramah tersebut yang telah disampaikan oleh Peguam Syarie al-Wadi, Haji Suhaili bin Haji Momin.

Beliau dalam ceramahnya antara lain menekankan mengenai pertunangan sebagaimana yang diperuntukkan dalam Bab 14 iaitu jika seorang gadis telah dipinang secara bertulis atau secara lisan, maka menjadi kesalahan bagi lelaki lain untuk meminangnya.

Haji Suhaili ketika menyampaikan ceramah mengenai ‘Memahami Akta Undang-undang Keluarga Islam 1999 Penggal 217, di Balai Ibadat Kampung Mata-Mata.
Haji Suhaili ketika menyampaikan ceramah mengenai ‘Memahami Akta Undang-undang Keluarga Islam 1999 Penggal 217, di Balai Ibadat Kampung Mata-Mata.

Juga dijelaskan dalam ceramah berkenaan ialah setiap jurunikah telah diperuntukkan tempat atau daerah yang dibenarkan untuk menikahkan, maka menjadi kesalahan jika jurunikah menikahkan pasangan di suatu tempat di luar kawasan atau daerah yang diperuntukkan untuknya.

Beliau turut menerangkan Bab 42 yang berkaitan dengan Bab Perceraian, Bab 44 mengenai perceraian sebab dasar syar’ie (uzur syar’ie), Bab 48 mengenai isteri yang minta diceraikan, Bab 49 mengenai Lian, Bab 52 mengenai rujuk dan banyak lagi.

Antara objektif ceramah berkenaan adalah untuk memberi pengetahuan dan kefahaman tentang perkara-perkara yang berkaitan dengan perkahwinan, perceraian, poligami dan sebagainya dari sudut undang-undang syariah.

ARTIKEL YANG SAMA