90 korban tanah runtuh di perlombongan batu jed

90 korban tanah runtuh di perlombongan batu jed

YANGON, 22 Nov (AFP) – Sekurang-kurangnya 90 orang terkorban dalam kejadian besar tanah runtuh di kawasan perlombongan batu jed terpencil di utara Myanmar, menurut para pegawai hari ini ketika pasukan penyelamat terus menemui mayat dalam salah satu bencana yang paling banyak mengorbankan nyawa melanda industri batu jed di negara itu.

Mereka yang terkorban dikatakan sedang mencari-cari di timbunan tinggi runtuhan sisa-sisa yang dibuang oleh penggali mekanikal yang digunakan oleh firma-firma perlombongan di kawasan itu untuk mengeluarkan batu paling berharga Myanmar.

Kejadian tanah runtuh besar melanda berbelas-belas kelompok pondok tidak kukuh di landskap yang tandus, yang mana bilangan tidak diketahui pekerja-pekerja yang pergi ke satu tempat telah membina rumah mereka dengan harapan mencari kekayaan di sisi industri jed berahsia yang bernilai berbilion-bilion dolar.

“Kami telah menemui 79 mayat pada 21 November dan 11 mayat hari ini, dengan itu jumlah setakat ini ialah 90 orang,” kata Nilar Myint, seorang pegawai pihak berkuasa pentadbiran setempat di Hpakant, utara Kachin, dengan menambah kata operasi menyelamat sedang berjalan.

Tentera membawa mayat pelombong yang maut akibat tanah runtuh di kawasan perlombongan jed di Hpakhant, Myanmar. – AFP
Tentera membawa mayat pelombong yang maut akibat tanah runtuh di kawasan perlombongan jed di Hpakhant, Myanmar. – AFP

“Kami hanya menemui mayat dan tidak siapa tahu berapa ramai orang tinggal di situ,” dia memberitahu AFP, dengan menambah kata hanya seorang yang berjaya ditarik keluar dengan selamatnya dari runtuhan, tetapi meninggal dunia tidak lama selepas itu.

Pada dasarnya Myanmar adalah sumber jed paling halus di dunia, yang mana batu berwarna hijau lut cahaya begitu berharga yang mengatasi bahan lain di negara jiran China.

Kejadian tanah runtuh adalah bahaya biasa di kawasan itu yang mana orang ramai bergantung hidup pada sisa-sisa industri itu melangkah perlahan-lahan di timbunan sangat berbahaya pada ketika waktu gelap, dengan harapan mereka mungkin menemui ketulan jed bernilai beribu-ribu dolar.

Tahun ini saja ramai yang terbunuh, ketika penduduk tempatan berkata firma-firma perlombongan, kebanyakannya mempunyai kaitan dengan elit tentera era junta negara itu, menambah operasi mereka di Kachin.

Nilar Myint berkata pekerja-pekerja penyelamat dari pasukan Palang Merah Myanmar, tentera polis dan kumpulan masyarakat setempat kesemuanya berada di tempat kejadian cuba mengeluarkan orang dari timbunan tanah, tetapi usaha mereka terjejas oleh keadaan cuaca teruk semalaman di rantau terpencil ini.