90 orang sertai Bengkel Penyempurnaan Solat

90 orang sertai Bengkel Penyempurnaan Solat

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Mac – Seramai 90 orang telah menyertai Bengkel Penyempurnaan Solat yang julung-julung kalinya dianjurkan oleh Kumpulan Belia Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah Syababurroja, Kampung Kiarong, baru-baru ini, bersempena Hari Kebangsaan ke-32 dengan tema ‘Generasi Berwawasan’.

Bengkel yang diadakan di dewan solat lelaki masjid berkenaan, bertujuan untuk meraih keredaan dan kasih Allah S.W.T, di samping memupuk dan menyemai rasa cinta terhadap Rasulullah S.A.W dengan menghidupkan sunnah Baginda khususnya dalam ibadah solat dan meluaskan lagi ilmu pengetahuan berkenaan solat.

Timbalan Pengerusi Bengkel, Mudim Haji Suhaili bin Haji Kalong semasa menyampaikan ucapan alu-aluannya menekankan bahawa kedudukan solat amat tinggi dalam Islam.

“Ia merupakan tiang agama di mana agama tidak akan dapat ditegakkan dengan sempurna dalam diri seseorang dan negara kecuali setelah memberi perhatian khusus tentang kewajipan dan kesempurnaannya,” jelasnya lagi.

Pengiran Haji Hafizuddin ketika mengendalikan bengkel bagi para peserta lelaki.
Pengiran Haji Hafizuddin ketika mengendalikan bengkel bagi para peserta lelaki.

Pada bengkel itu, ceramah bertajuk ‘Ibadah Dinamik Asas Generasi Berwawasan’ telah disampaikan oleh Awang Sammali bin Haji Adam yang antara lain menegaskan supaya para belia dan beliawanis jangan mengamalkan sifat berlengah-lengah.

Beliau turut menekankan bahawa ibadah bukan tertakluk kepada solat sahaja akan tetapi maknanya adalah lebih luas contohnya amalan seharian kita seperti makan untuk beribadah akan tetapi jika berlebihan ia akan melalaikan dan pembaziran, turut disentuh setiap ibadah itu tergantung pada niatnya.

Program diteruskan lagi dengan bengkel penyempurnaan solat di bilik-bilik kuliah yang dibahagikan kepada kumpulan lelaki dan perempuan.

Fasilitator atau pembengkel bagi peserta lelaki ialah Pengiran Haji Hafizuddin bin Pengiran Haji Bakar manakala itu Dayang Siti Nor Aziah binti Haji Asli mengendalikan bengkel bagi peserta perempuan.

Antara pengisian bengkel termasuk rukun solat, cara penyempurnaan solat dan bacaan sewaktu solat.

ARTIKEL YANG SAMA