90 peratus kes mangsa jenayah siber

90 peratus kes mangsa jenayah siber

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Nov – Menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kira-kira 80 peratus hingga 95 peratus kanak-kanak menjadi mangsa pelbagai bentuk penderaan setiap tahun, manakala itu, seramai 53,000 orang kanak-kanak meninggal dunia setiap tahun akibat daripada penderaan atau penganiayaan.

Seramai 150 juta kanak-kanak perempuan dan 73 juta kanak-kanak lelaki di bawah umur 18 tahun mengalami penganiayaan seksual.

Seramai 1.8 juta pula terlibat dalam pornografi dan 1.2 juta menjadi mangsa pemerdagangan manusia.

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof menekankan, salah satu punca utama statistik yang menyedihkan dan membimbangkan ini adalah penyalahgunaan kemudahan Internet dan komunikasi digital dalam kalangan kanak-kanak dan remaja sendiri.

“Negara kita juga tidak terlepas daripada menghadapi masalah kanak-kanak dan remaja yang terdedah kepada ancaman penganiayaan siber.

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia 2015 di KKBS.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia 2015 di KKBS.

Saya difahamkan bahawa pengaruh buruk dunia siber merupakan punca utama kepada 90 peratus kes remaja sukar dikawal yang dikendalikan oleh Jabatan Pembangunan Masyarakat.

“Sementara itu, Jabatan Siasatan Jenayah, Polis Diraja Brunei melaporkan hampir separuh daripada kes rogol dan persetubuhan di bawah umur pada tahun 2014 dan 2015 adalah bermula daripada perjumpaan secara online. Mangsa yang termuda berumur 12 tahun,” kata Yang Berhormat Pehin semasa berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Kanak-kanak Sedunia 2015 yang berlangsung di kementeriannya, kelmarin.

Beliau menggesa agar perkara ini dibendung daripada menular.

Menurut beliau, kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia telah membentuk Rangka Kerja Perlindungan Kanak-Kanak Dalam Talian yang menggariskan tindakan bersepadu berbagai-bagai agensi yang berkepentingan bagi melindungi kanak-kanak dan remaja daripada jenayah siber.

Tindakan-tindakan ini, tambah beliau, diusahakan melalui lima tunggak utama iaitu Struktur Organisasi, Pembangunan Kapasiti, Langkah Perundangan, Perlaksanaan dan Kerjasama Antarabangsa.

Daripada segi perundangan pula, perlindungan kanak-kanak dan remaja daripada keganasan, penganiayaan dan eksploitasi ada diperuntukkan melalui Akta Kanak-kanak dan Orang Muda (Bab 219), Akta Perlindungan Perempuan-perempuan dan gadis-gadis (bab 120) dan pindaan ke atas undang-undang kesalahan seksual di bawah kanun hukuman jenayah penggal 22.

Yang Berhormat Pehin juga menyeru para remaja dan kanak-kanak untuk lebih peka akan terdapatnya bahaya siber dan mengenali serta mengamalkan langkah-langkah perlindungan diri demi menghindarkan daripada bahaya berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA