900 unit PPR dibina

900 unit PPR dibina

SANDAKAN, 16 Okt (Bernama)  – Pembinaan 900 unit Program Perumahan Rakyat (PPR) di Kampung Batu Putih dekat sini membuktikan kerajaan Barisan Nasional (BN) mengotakan janji untuk membantu rakyat yang tidak memiliki rumah.

Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman berkata usaha membina lebih banyak perumahan untuk rakyat khususnya di negeri ini menerusi PPR akan diberi tumpuan dan diutamakan oleh kerajaan negeri dan persekutuan.

“Selain penyediaan rumah, pembinaan PPR juga dilengkapi dengan kemudahan lain termasuk dewan dan kemudahan bersukan. Kerajaan mahu rakyat tinggal di taman perumahan yang disediakan dalam keadaan selesa,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak PPR itu hari ini.

PPR tersebut dibina di atas tapak seluas 10 hektar dengan kos pembinaan sebanyak RM150 juta dan dijangka siap pada 2019.

Musa yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Kesejahteraan, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan yang meluluskan projek pembinaan PPR itu.

Musa turut mengingatkan kontraktor yang dilantik melaksanakan projek itu supaya memastikan ia disiapkan mengikut spesifikasi dan jadual yang ditetapkan.