91 pelatih PPB tamat latihan

91 pelatih PPB tamat latihan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Jun – Para pelatih Program Pembangunan Belia (PPB) yang berjaya menamatkan latihan mereka disarankan untuk menggunakan ilmu pengetahuan yang diperoleh selama menyertai latihan itu dengan sebaik-baiknya untuk meraih kejayaan dalam kehidupan mereka.

Ilmu pengetahuan itu boleh digunakan sebagai asas kepada bukan sahaja kerjaya masa depan mereka tetapi untuk meneroka peluang-peluang perniagaan bagi meraih kejayaan di masa akan datang.

Seruan dan nasihat itu disampaikan oleh Pengarah Program Khidmat Bakti Negara (PKBN), Kolonel (B) Pengiran Zulkipli bin Pengiran Haji Ismail ketika menyampaikan kata-kata nasihat selepas Majlis Perbarisan Tamat Kursus dan Penyampaian Hadiah bagi Pelatih-Pelatih Terbaik PPB sesi Januari 2015 yang berlangsung di PPB, Kampung Tanah Jambu, hari ini.

Turut hadir di majlis berkenaan ialah para pegawai kanan, pegawai-pegawai, tenaga pengajar dan kakitangan PPB serta ibu bapa dan keluarga para pelatih berkenaan.

Di majlis berkenaan seramai 91 pelatih yang berjaya menamatkan program latihan itu, telah mengikuti pelbagai kursus termasuk kursus termasuk teknologi dan maklumat, kimpalan dan fabrikasi, pemasangan paip air domestik, kursus penyaman udara serta kursus membaik pulih badan kenderaan yang bermula dari Januari hingga Jun 2015.

Kolonel (B) Pengiran Zulkipli ketika memeriksa perbarisan.
Kolonel (B) Pengiran Zulkipli ketika memeriksa perbarisan.
Kolonel (B) Pengiran Zulkipli menyampaikan hadiah kepada Ampuan Mohammad Nasaruddin.
Kolonel (B) Pengiran Zulkipli menyampaikan hadiah kepada Ampuan Mohammad Nasaruddin.
Kolonel (B) Pengiran Zulkipli menyampaikan hadiah kepada Dayang Nor Suhana.
Kolonel (B) Pengiran Zulkipli menyampaikan hadiah kepada Dayang Nor Suhana.

pg12_150612_a

pg12_150612_e

Di samping itu juga, seramai 28 pelatih telah menerima anugerah mereka sebagai hadiah galakan, sementara, dua peserta iaitu Ampuan Mohammad Nasaruddin bin Ampuan Asmadi dan Dayang Nor Suhana binti Mohd Sani dipilih sebagai pelatih lelaki dan perempuan terbaik keseluruhan PPB.

Majlis itu diadakan bagi memupuk sikap memajukan diri sendiri dan tanggungjawab pada diri dan orang lain, mendisiplinkan pelatih-pelatih khususnya program tatacara yang terkandung dalam program pembangunan diri, mengiktiraf pelatih-pelatih yang cemerlang melalui penyampaian hadiah terbaik serta memberikan kesedaran kepada para peserta akan pentingnya menjaga nama negara dan meningkatkan semangat patriotik mereka.

Majlis turut menyaksikan para pelatih bergambar ramai bersama Kolonel (B) Pengiran Zulkipli dan majlis perpisahan yang diadakan di pusat berkenaan yang menandakan berakhirnya program latihan kemahiran dan program pembangunan diri selama enam bulan sebelum mereka mengikuti program penempatan yang bermula Julai nanti.