913 kes denggi dilaporkan di Sabah

913 kes denggi dilaporkan di Sabah

SANDAKAN, 13 Mac (Bernama) – Sebanyak 913 kes denggi dilaporkan di negeri ini dari Januari hingga 10 Mac lepas, meningkat 70 kes berbanding tempoh sama tahun lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah Dr Christina Rundi berkata daerah Sandakan mencatatkan kes denggi tertinggi sebanyak 319 diikuti Kota Kinabalu (152) dan Tawau (72) daripada keseluruhan kes denggi di Sabah.

Katanya terdapat 11 lokaliti wabak denggi aktif melibatkan tujuh daerah iaitu Sandakan (lima lokaliti) dan satu lokaliti masing-masing di Kota Kinabalu, Lahad Datu, Papar, Beluran, Tuaran dan Semporna.

Sementara itu, beliau berkata setelah Ops Mega Kawalan dan Pencegahan Denggi dilaksanakan di daerah ini, bilangan kes denggi telah menurun sebanyak 96 peratus setakat ini.

Operasi itu bermula pada 15 Feb lepas dan akan berakhir 15 Mac ini, katanya pada sidang akhbar berkenaan operasi itu di sini.

Menurutnya menerusi pelaksanaan Ops Mega, aktiviti penghapusan tempat pembiakan aedes telah dijalankan di 112 lokaliti dan sebanyak 12,014 premis telah diperiksa.