915 diperiksa dalam Ops Gasak

915 diperiksa dalam Ops Gasak

LAHAD DATU, 6 Nov (Bernama) – Sebanyak 915 orang diperiksa dalam Ops Gasak yang diterajui Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) di sekitar pinggiran bandar ini, Jumaat.

Komander ESSCom Datuk Abdul Rashid Harun berkata operasi selama enam jam bermula 3 pagi itu, disertai 472 orang daripada pelbagai agensi termasuk polis dan Jabatan Imigresen.

“Selepas tapisan dibuat, 193 orang dipercayai pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dan dihantar ke Pusat Tahanan Sementara (PTS) Tawau untuk urusan penghantaran pulang ke negara asal mereka,” katanya dalam kenyataan.

Abdul Rashid berkata kesemua mereka ditahan di dua kawasan perkampungan, di Kampung Sabah Baru dan Epil yang terletak kira-kira enam kilometer dari pusat bandar Lahad Datu.

“Mereka ditahan kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah. Ops Gasak adalah sebahagian daripada usaha berterusan ESSCom membersihkan negeri ini, khususnya di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) daripada PATI,” katanya.