92 peratus restoran di KB capai gred A

92 peratus restoran di KB capai gred A

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 5 April – Dalam fasa pertama tahun 2016, Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria telah membuat penggredan ke atas 12 buah kedai makan dan restoran yang di bawah kawalannya dan daripada jumlah tersebut 11 mendapat Gred A dan hanya satu mendapat Gred B.

Pengerusi Lembaga Bandaran Kuala Belait dan Seria, Haji Ali bin Matyassin memberitahu, kedai makan dan restoran yang mendapat Gred A pada tahun ini telah mencapai 92 peratus, yang merupakan kategori tahap sangat cemerlang.

Berucap pada Majlis Penyampaian Sijil-sijil Pengiktirafan Penilaian ‘Grading’ Kedai Makan/Restoran di Bawah Kawalan Lembaga Bandaran Kuala Belait dan Seria bagi Fasa Pertama Tahun 2016 di ruang Atrium Bangunan Pusat Membeli-Belah KBSentral, di sini, hari ini, beliau juga berkata, lapan buah kedai makan dan restoran yang mencapai 100 peratus Gred A beroperasi di bangunan pusat membeli-belah tersebut.

Jelasnya, penggredan kedai makan dan restoran bagi fasa pertama pada tahun ini telah diadakan oleh panel pemeriksa pada Februari lalu hingga selesai pada pertengahan Mac.

Sehubungan itu, penyampaian sijil Gred A dan B kepada pengurus kedai makan dan restoran berkenaan telah diadakan hari ini, yang telah disempurnakan oleh Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Haji Muhammad Sunadi bin Haji Buntar selaku tetamu kehormat majlis.

Haji Muhammad Sunadi ketika menggantungkan sijil pengiktirafan Gred A di salah sebuah premis kedai makandi kawasan Bangunan KBSentral.
Haji Muhammad Sunadi ketika menggantungkan sijil pengiktirafan Gred A di salah sebuah premis kedai makandi kawasan Bangunan KBSentral.
Gambar ramai tetamu kehormat bersama penerima sijil penggredan dan pegawai-pegawai Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria, ahli panel pemeriksaan dan pengurus kedai makan dan restoran yang menerima Sijil Penggredan Gred A.
Gambar ramai tetamu kehormat bersama penerima sijil penggredan dan pegawai-pegawai Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria, ahli panel pemeriksaan dan pengurus kedai makan dan restoran yang menerima Sijil Penggredan Gred A.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Bandaran Kuala Belait dan Seria, dalam ucapannya juga telah menyatakan bahawa orang ramai selaku pelanggan pada masa ini, sangat prihatin dan peka tentang hal ehwal kebersihan.

Menurutnya, mereka akan sentiasa mengunjungi premis-premis makanan yang sudah mendapat sijil penggredan kebersihan yang cemerlang seperti contoh, bangunan Pusat Beli-Belah KBSentral yang menunjukkan kesemuanya premis makanan/restoran diiktiraf mendapat Sijil Gred A.

Beliau juga menyatakan, panel pemeriksaan penilaian kini sedang dalam proses melaksanakan penggredan terhadap 27 buah lagi kedai makan dan restoran dalam fasa kedua bagi tahun ini, yang telah bermula penghujung Mac lalu dan dijangka akan selesai pada penghujung April ini.

Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai dan semua pihak berkepentingan di Kuala Belait dan Seria untuk menyokong dan mendokong usaha-usaha penggredan kedai makan berkenaan, terutamanya kepada pengurus-pengurus, dan berharap keputusan penggredan bagi fasa kedua itu akan lebih baik dan cemerlang daripada tahun-tahun sebelumnya.

Antara kedai-kedai makan dan restoran yang telah menerima pengiktirafan Gred A bagi fasa pertama ialah Restoran Kaizensushi di Jalan Pretty Kuala Belait; Kaiz Cuisine (Sushi Tei) di KBSentral; Uhome Cafe (Warong Penyet), KBSentral; Shinobu Sushi Restaurant, KB Sentral; Restoran All Seasons, KBSentral; Satami Food & Catering Service (SugarBun), KBSentral; Rotikopi Cafe (i Love Yoo Restoran), KBSentral, Sinofood Express (Burger King), Bangunan Perniagaan Cina Jalan Bunga Raya Kuala Belait; Pondok Lagenda Restaurant & Catering, KBSentral; Bristodeli Cafe (Delifrance), KBSentral; dan Satami Food & Catering Service (SugarBun), Jalan Sultan Omar Ali, Seria.

Manakala itu, Gohan Sushi and Shabu-Shabu Restaurant yang terletak di Jalan Sultan Omar Ali Seria mendapat Gred B.