95 Maut ‘9/11 Turki’

95 Maut ‘9/11 Turki’

ANKARA, 11 Okt – Turki hari ini meratapi kematian sekurang-kurangnya 95 orang dalam serangan berkembar yang disyaki serangan nekad ke atas perhimpunan aman di Ankara dalam serangan paling buruk di negara itu.

Angka yang mengatasi jumlah korban serangan berkembar di Reyhanli dekat sempadan Syria yang membunuh lebih 50 orang pada Mei 2013, menjadikan serangan semalam sebagai serangan paling maut di republik itu.

“Kejadian ini mungkin menjadi serangan 11 September Turki,” kata pengarah Program Penyelidikan Turki di Institut Washington, Soner Cagaptay, merujuk kepada serangan pengganas 11 September 2001 di Amerika Syarikat.

Perdana Menteri Ahmet Davutoglu mengisytiharkan tiga hari berkabung, dengan bendera dikibarkan separuh tiang di seluruh negara ketika persoalan semakin meningkat mengenai siapakah yang merancang serangan itu.

Kejadian tersebut juga meningkatkan lagi ketegangan di Turki menjelang pilihan raya 1 November ketika kerajaan meningkatkan serangan terhadap militan Kurdish.

“Pengeboman dalam hati kita,” kata tajuk utama dalam akhbar harian Hurriyet. “Orang ramai yang amat marah sedang menunggu untuk mengetahui siapa mendalangi kejadian itu,” tambah akhbar itu lagi.

Presiden Recep Tayyip Erdogan mengutuk serangan kejam dalam satu kenyataan dan membatalkan lawatan ke Turkmenistan tetapi masih belum bercakap kepada umum.

Demonstrasi membantah keganasan itu meletus di Ankara selepas perhimpunan di Istanbul lewat petang Sabtu menggerakkan kira-kira 10,000 orang.

Pejabat Perdana Menteri berkata, 95 orang terbunuh apabila bom meletup selepas jam 10 pagi ketika aktivis haluan kiri dan pro-Kurdish berkumpul untuk perhimpunan aman di luar stesen kereta api Ankara.

Menurut kenyataan itu, 246 orang cedera, dengan 48 lagi masih dalam rawatan rapi. Seorang wartawan AFP berkata, tempat kejadian penuh dengan galas bola, menunjukkan letupan dirancang untuk menyebabkan kerosakan maksimum.

Parti Demokratik Pro-Kurdish Turki (HDP) yang mengajak orang ramai untuk perhimpunan aman, meletakkan angka kematian sebanyak 128 orang dalam satu ‘posting’ di Twitter tetapi angka tersebut tidak disahkan oleh kerajaan. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA