95 orang pelajar UBD terima penghargaan

95 orang pelajar UBD terima penghargaan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Sept – Sebagai tanda pengiktirafan dan penghargaan Universiti Brunei Darussalam (UBD) atas pencapaian dan kecemerlangan para graduan dan pelajarnya dalam bidang pengajian masing-masing, seramai 95 orang pelajar diraikan dan menerima anugerah mereka di Majlis Penyampaian Pingat-pingat dan Hadiah-hadiah Buku Universiti sempena Konvokesyen UBD ke-27 yang berlangsung di Dewan Canselor, UBD, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian anugerah kepada para penerima yang diraikan ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong.

Turut hadir ialah Menteri Perindustrian dan Sumber-sumber Utama, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Utama Dato Seri Setia Haji Yahya bin Begawan Mudim Dato Paduka Haji Bakar, Timbalan Menteri Pendidikan, Dato Seri Setia Haji Yusoff bin Haji Ismail, Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Dimuliakan Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof, ahli-ahli Majlis UBD, para pegawai utama dan kakitangan UBD serta ibu bapa dan penjaga para penerima yang diraikan.

Pada majlis berkenaan, sebanyak 106 Pingat, Hadiah Buku dan Anugerah Kecemerlangan dianugerahkan kepada 95 orang pelajar termasuk empat orang penerima Pingat Perak Universiti.

Di antara ibu bapa dan penjaga para penerima anugerah yang diraikan di majlis berkenaan.
Di antara ibu bapa dan penjaga para penerima anugerah yang diraikan di majlis berkenaan.

Penerima-penerima Pingat Perak Universiti terdiri daripada graduan Sarjana Muda Sastera, Pranika Lama; Sarjana Muda Sains, Loh Eng Yun; Sarjana Muda Sains Kesihatan, Dayang Fakhira binti Haji Mohd Saiful @ Norlidia Gumpul dan Sarjana Muda Perniagaan, Dayangku Siti Wardah binti Pengiran Rusli.

Sementara itu, seramai 15 orang mahasiswa dan mahasiswi program Ijazah Sarjana menerima Hadiah Buku Universiti manakala seramai 64 orang mahasiswa dan mahasiswi dalam Ijazah Sarjana Muda menerima penghargaan atas pencapaian cemerlang mereka.

Di antara 64 orang penerima Hadiah Buku Program Sarjana Muda pula, seramai 23 orang penerima bagi aras 4000 dan 5000 (major), 24 orang penerima bagi aras 2000 dan 3000 (major) dan 15 orang penerima bagi aras 1000 (major) serta dua orang penerima Hadiah Buku bagi pencapaian tertinggi dalam modul Melayu Islam Beraja.

Pada majlis itu juga, seramai 15 orang pelajar telah menerima Anugerah Kecemerlangan sumbangan Brunei LNG Sdn Bhd sebagai tanda penghargaan dalam memperoleh pencapaian tertinggi bagi program masing-masing.

Anugerah Kecemerlangan juga diberikan kepada seorang pelajar Sarjana Muda Sains Kesihatan dan tujuh orang pelajar Diploma yang mencapai prestasi tertinggi iaitu tiga pelajar Diploma Tahun Akhir, dua pelajar Diploma Tahun II dan dua pelajar Diploma Tahun I.

ARTIKEL YANG SAMA