958 terima elaun sara hidup

958 terima elaun sara hidup

SANDAKAN, 11 Mac (Bernama) – Kerajaan negeri melalui Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS) memberikan elaun sara hidup sebanyak RM800 sebulan kepada peneroka yang terlibat dalam Program Tanam Semula bermula tahun ini.

Seramai 958 peneroka menerima elaun sara hidup itu membabitkan peruntukan RM7 juta untuk tempoh lima tahun.

Ia membabitkan sembilan Rancangan Wilayah Pantai Timur iaitu Sungai Manila, Ulu Dusun, Suan Lamba, Silabukan, Lormalong, Apas Balong, Blok 31, Seludung dan Merotai.

Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman menyampaikan elaun berkenaan kepada sebahagian peneroka ketika melancarkan Program Tanam Semula Sawit Rancangan Peneroka LKTNS di sini, hari ini.

Ketika berucap, Musa berkata pemberian elaun dibuat berikutan peneroka akan kehilangan sumber pendapatan sepanjang tempoh tanam semula sehingga pokok mengeluarkan hasil. “Kita sememangnya sentiasa mendengar suara rakyat, dan mengambil tindakan yang tepat dan sewajarnya terhadap keperluan rakyat.

Datuk Seri Musa Aman (tengah) bergambar bersama sebahagian peneroka pada pelancaran Program Tanam Semula Sawit Rancangan Peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Sabah (LKTNS) kelmarin. – Bernama
Datuk Seri Musa Aman (tengah) bergambar bersama sebahagian peneroka pada pelancaran Program Tanam Semula Sawit Rancangan Peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Sabah (LKTNS) kelmarin. – Bernama

“Selaras dengan itu, kita telah memperkenalkan pelbagai dasar dan program pembangunan yang memberi manfaat kepada negeri dan rakyat, dengan bantuan kerajaan pusat,” katanya.

Hadir sama Pengerusi LKTNS Datuk Rahim Ismail dan Pengurus Besar LKTNS Jazuli W. Sunarto.

Beliau berkata kerajaan negeri menyambut baik inisiatif LKTNS melaksanakan program yang memberi manfaat besar bagi membantu rakyat khususnya di luar bandar dan pedalaman untuk meningkatkan lagi taraf hidup mereka melalui penanaman semula sawit rancangan peneroka LKTNS ini.

Musa berkata pada 2013, beliau telah mengarahkan Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) bekerjasama dengan LKTNS untuk mendapatkan dana daripada Kerajaan Pusat bagi membiayai projek-projek pembangunan tanah di kawasan luar bandar, bagi memastikan supaya rakyat terutama di kawasan luar bandar turut menikmati arus pembangunan.

“Hasilnya, LKTNS telah diberikan peruntukan yang besar untuk membiayai program-program pembangunan tanah seperti Program Pembangunan Tanah Geran Komunal, Projek Pekebun kecil Terancang dan Program Tanam Semula Sawit Rancangan Peneroka,” katanya.