98 peratus isu perniagaan diselesaikan

98 peratus isu perniagaan diselesaikan

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Feb – Jabatan Tenaga dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri telah berjaya menyelesaikan 98 peratus isu perniagaan yang diterima semasa Hari Terbuka Perusahaan bulan lalu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, maklum balas yang diterima daripada perusahaan-perusahaan bagi acara itu telah membawa kepada penubuhan Meja Bantu Perniagaan serta portal Meja Bantu Perniagaan dalam talian di alamat www.business.gov.bn/businesshelpdesk.

Bagi setiap isu, seorang penganalisis kes ditugaskan untuk membuat tindakan susulan dengan perusahaan yang membuat aduan dalam tempoh lima hari bekerja atau lebih bergantung ada kerumitan isu berkenaan.

Semasa Hari Terbuka Perusahaan itu, jabatan berkenaan telah menerima sejumlah 138 isu berkaitan perniagaan, sebahagiannya merangkumi isu-isu biasa seperti pertanyaan bagi khidmat nasihat perniagaan, kesukaran dalam mendapatkan pembiayaan dan isu-isu berkaitan kuota buruh dan sebagainya.

Isu-isu lebih rumit termasuk yang melibatkan penyelarasan berbilang agensi dan pertukaran dasar. Sehingga kini, 98 peratus daripada isu-isu berkenaan telah diselesaikan dalam tempoh dua minggu.

Menurut kenyataan itu lagi, bagi dua peratus isu yang tinggal, Meja Bantu Perniagaan akan terus membuat tindakan susulan dengan agensi-agensi kerajaan berkaitan untuk menangani isu-isu berkenaan, yang termasuk perubahan-perubahan yang berkaitan dengan dasar dan proses.

Untuk mengetahui lebih lanjut, para pengusaha dialu-alukan untuk mengunjungi Meja Bantu Perniagaan yang dibuka setiap Rabu dan Jumaat dari jam 9 pagi hingga 4 petang dengan waktu rehat bagi sembahyang Jumaat dari 12 tengah hari hingga 2 petang di tingkat satu Bangunan Reka Bentuk dan Teknologi, Taman Teknologi Anggerek Desa.

Selain itu, boleh juga menghantar pertanyaan dengan menghantar e-mel ke alamat dare@ei.gov.bn atau menghubungi hotline DARe di talian 8363442.

ARTIKEL YANG SAMA