98% perniagaan berteraskan sektor PKS

98% perniagaan berteraskan sektor PKS

SUNGAI BESAR, 16 Jun (Bernama) – Kerajaan sentiasa mempelbagaikan usaha memperkasa dan membangunkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memandangkan 98 peratus daripada jumlah perniagaan seluruh negara datang daripada sektor tersebut.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Ahmad Maslan berkata setakat ini, sebanyak 653,158 syarikat PKS telah berdaftar dengan kementerian itu dan 19.5 peratus atau 127,366 daripadanya bertapak di Selangor.

Berikutan itu, katanya, PKS dilihat sebagai tulang belakang ekonomi negara kerana sumbangannya yang besar dan kerajaan Persekutuan dan negeri perlu memberi lebih tumpuan kepada sektor terbabit. “Kadang-kadang ada orang tersilap fikir, ingat PKS sekadar membuat kuih di belakang rumah tetapi hakikatnya ia adalah sebuah entiti perdagangan keseluruhan termasuk perkilangan, perhotelan kecil, restoran dan kontraktor kelas F.

“Disebabkan itu, MITI sentiasa menekankan kepada rakyat bahawa kerajaan menyediakan banyak insentif, geran, saham Bumiputera dan sebagainya kepada syarikat yang memenuhi syarat untuk terus bantu mereka mengembangkan perniagaan,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Datuk Ahmad Maslan (tengah) mengadakan lawatan ke Pusat Media Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar minggu lalu. Beliau berkata kerajaan sentiasa mempelbagaikan usaha memperkasa dan membangunkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memandangkan 98 peratus daripada jumlah perniagaan seluruh negara datang daripada sektor tersebut.
Datuk Ahmad Maslan (tengah) mengadakan lawatan ke Pusat Media Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar minggu lalu. Beliau berkata kerajaan sentiasa mempelbagaikan usaha memperkasa dan membangunkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memandangkan 98 peratus daripada jumlah perniagaan seluruh negara datang daripada sektor tersebut.

Menurut Ahmad, program-program Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera yang dilaksanakan kementerian itu serta agensi di bawahnya pada tahun ini telah mencapai tahap 21 peratus setakat suku pertama 2016.

“MIDF contohnya, prestasi sehingga Mei 2016 menunjukkan pembiayaan dan pinjaman yang telah diluluskan berjumlah RM13.2 bilion untuk dimanfaat 10,283 syarikat, dengan RM4.6 bilion sahaja bagi 2,535 syarikat Bumiputera.

“SME Corp menerusi program Business Accelerator Programme (BAP), iaitu bantuan bersepadu meningkatkan keupayaan PKS pula telah memberikan 1,005 kelulusan kewangan dengan 363 atau 36 peratus adalah bagi PKS Selangor dengan nilai kelulusan RM75.9 juta,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA