A-Perdana Money Changer mula operasi di Belait

A-Perdana Money Changer mula operasi di Belait

Oleh Hajah Saemah Kepli

KUALA BELAIT, 1 Julai – Setelah melihat potensi perniagaan pertukaran wang dan nilai pertukaran mata wang yang memihak kepada para pengguna dari negara ini, seorang anak tempatan telah memulakan perniagaan seumpamanya yang pertama di Pekan Belait.

Aaron Lo, 28, semasa ditemui semasa perasmian Syarikat A-Perdana Money Changer hari ini memberitahu, sejak kehilangan pekerjaan akibat kegawatan ekonomi gara-gara kejatuhan harga minyak dunia, beliau menjadi penganggur selama kira-kira setahun dan mendapati agak sukar baginya untuk mendapatkan pekerjaan lagi.

Walaupun Aaron Lo beralih kepada bidang perniagaan tetapi beliau lebih gemar menceburi perniagaan yang berbeza daripada apa yang ada di pasaran tempatan khususnya di Pekan Belait sendiri.

Menurutnya, setelah mencuba nasib menyertai tawaran tender pihak Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) melalui iklan akhbar tempatan, beliau bernasib baik telah terpilih untuk menjalankan perniagaan berkenaan di Belait.

Aaron Lo melayan pelanggan di Premis Pertukaran Wang Asing Syarikat A-Perdana di Jalan Pretty Kuala Belait.
Aaron Lo melayan pelanggan di Premis Pertukaran Wang Asing Syarikat A-Perdana di Jalan Pretty Kuala Belait.

“Saya melihat perniagaan ini, lain daripada yang lain dan tidak banyak saingan. Dengan Pekan Belait yang unik dan penduduknya agak kecil, saya membuat keputusan untuk menceburkan diri dalam perniagaan ini,” katanya.

Menurut beliau lagi, menjalankan perniagaan seperti itu juga perlu mematuhi syarat dan peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa terutama sekali membuat laporan kepada AMBD dan juga Kementerian Kewangan serta memastikan setiap pelanggan yang menukarkan mata wang lebih daripada $1,000 diperlukan untuk menunjukkan kad pengenalan dan sebagainya, selain menukar jumlah yang banyak akan diajukan sedikit soalan tentang dari mana sumber kewangan tersebut dan sebagainya.

Menyentuh tentang kawalan keselamatan pula, Aaron Lo menyatakan premis perniagaanya lebih kurang seperti kawalan keselamatan yang disediakan di bangunan bank terutama dengan adanya pemasangan sistem kamera litar tertutup.

ARTIKEL YANG SAMA