AAC buka laluan kepada peserta tempatan

AAC buka laluan kepada peserta tempatan

SINGAPURA, 21 Feb (Bernama) – Bandar Aeroangkasa Asia (AAC) yang kini dalam pembinaan di Subang, Selangor akan membuka laluan kepada peserta tempatan untuk meneroka industri aeroangkasa yang menguntungkan, kata Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).

Pengarah Bahagian Pengangkutan, Logistik, Mesin, Penyelenggaraan, Pembaikan dan Baik Pulih (MRO)/Promosi Perdagangan dan Perkhidmatan Eropah Matrade, Md Silmi Abd Rahman berkata pada masa ini segmen akademiknya telah siap 90 peratus.

“Apabila kampus kedua Institut Teknologi Penerbangan Malaysia (MIAT) Universiti Kuala Lumpur (UniKL) siap, kami jangka kira-kira 4,000 jurutera berkemahiran tinggi dapat dikeluarkan setiap tahun,” katanya dalam temu bual dengan Bernama, di luar Pameran Udara Singapura 2016, di sini Sabtu.

UniKL hanya dapat melatih 8,000 jurutera daripada 18,000 yang diperlukan oleh industri aeroangkasa dalam tempoh lima tahun akan datang, katanya.

AAC yang merangkumi kawasan seluas 3.5 juta kaki persegi menawarkan ekosistem perniagaan yang lengkap bagi peserta industri di Asia Tenggara, menghimpunkan segmen akademik dan perniagaan di bawah satu bumbung bagi menghasilkan situasi menang-menang untuk industri.

Pembangunan yang bermula tahun ini akan dilaksana dalam tiga fasa dan apabila siap kelak AAC akan menempatkan ruang pejabat, pusat-pusat latihan, pusat konvensyen, sebuah hotel dan ruang runcit serta kampus MIAT.

Pembinaan fasa pertama hab aeroangkasa itu dijangka bermula dalam suku pertama tahun ini dengan Subang Nexus dijadual siap pada awal 2018.

Md Silmi berkata peluang yang ada tidak terhad kepada segmen penerbangan dan ketenteraan sahaja memandangkan banyak lagi segmen yang boleh diteroka terutama dalam segmen pasaran komersial aeroangkasa.

ARTIKEL YANG SAMA