AADK Sabah hapus 178 kawasan berisiko tinggi dadah

AADK Sabah hapus 178 kawasan berisiko tinggi dadah

KOTA KINABALU, 23 Nov – Sebanyak 178 kawasan yang dikenal pasti berisiko tinggi dadah dihapuskan menerusi Kempen Perangi Dadah Habis-habisan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Sabah tahun ini.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Datuk Jainab Ahmad Ayid berkata langkah itu bagi memperkasakan masyarakat dalam menangani permasalahan dadah di negeri ini.

“Pendekatan ini juga bertepatan dengan program ‘Community Empowerment’ yang akan dirasmikan oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman pada 8 Disember depan,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah di sini hari ini.

Jainab juga berkata satu kertas kerja akan dibincangkan dalam sebuah jawatankuasa khas bagi menggariskan kaedah baharu dalam menangani isu dadah.

Turut dibincangkan ialah penyelesaian dalam pelaksanaan program kesedaran yang lebih efektif, katanya.

Jainab turut memaklumkan satu kertas cadangan berhubung kanak-kanak jalanan di Sabah telah disediakan dan dalam semakan terakhir.

Menurutnya, kertas cadangan itu akan diserahkan kepada Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan selaku Pengerusi Jawatankuasa Kerja Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai isu pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah.

Ketika ini, beliau berkata Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Negeri akan menempatkan kanak-kanak jalanan di Rumah Kanak-kanak Kota Kinabalu sekiranya kanak-kanak terlibat mempunyai dokumen pengenalan diri dan berstatus warganegara. – Bernama