Abadikan 7 dekad persahabatan

Abadikan 7 dekad persahabatan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Jun – Negara Brunei Darussalam dan Australia mempunyai hubungan persahabatan yang erat dan juga kerjasama yang kukuh dalam pelbagai bidang.

Hubungan persahabatan ini sudah terjalin sekian lama dengan kedua-dua buah negara berkongsi sejarah yang penting dalam pembangunan negara berkenaan melalui sejarah yang dikongsi semasa Perang Dunia ke-2.

Hubungan itu dapat disaksikan melalui Pameran Kisah-Kisah Dalam Kenangan yang berlangsung di Galeri Seni, Dermaga Diraja, Bandar Seri Begawan, bermula 12 hingga 30 Jun.

Persahabatan selama 70 tahun itu bukan sahaja diabadikan melalui pameran koleksi gambar-gambar sahaja tetapi dihidupkan lagi dengan perkongsian kisah zaman Jepun dan pembebasan Brunei pada 1945 oleh warga emas Brunei yang melalui zaman Jepun berkenaan.

Sejarah itu bukan sahaja perlu dikongsi dalam kalangan masyarakat dewasa sahaja tetapi harus dikongsi dengan generasi muda khususnya kanak-kanak sekolah supaya pengorbanan dan kisah zaman Perang Dunia ke-2 itu dapat terus dihormati dan dikenang oleh mereka.

Para alumni Australia dan keluarga mereka tidak melepaskan peluang menyaksikan pameran unik itu.
Para alumni Australia dan keluarga mereka tidak melepaskan peluang menyaksikan pameran unik itu.
TYT Todd Mercer menerangkan keunikan dan idea bagi menjayakan pameran berkenaan.
TYT Todd Mercer menerangkan keunikan dan idea bagi menjayakan pameran berkenaan.

Dalam hubungan itu, Suruhanjaya Tinggi Australia amat mengalu-alukan sekolah-sekolah di Negara Brunei Darussalam supaya akan dapat menyaksikan pameran yang unik itu, jelas Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Todd Mercer kepada Media Permata semasa sesi lawatan istimewa alumni Australia dan keluarga mereka di pameran berkenaan di Galeri Seni, Dermaga Diraja, hari ini.

Beliau berkata peluang untuk mendengar kisah-kisah mengenai sejarah Brunei dan Australia melalui pameran dan juga penerangan daripada ahli akademik Universiti Brunei Darussalam akan memberikan murid dan pelajar sekolah perspektif unik mengenai salah satu peristiwa penting dalam sejarah kedua-dua buah negara.

Tuan Yang Terutama menyatakan harapan supaya semua sekolah-sekolah tidak akan terlepas peluang untuk memanfaatkan peluang pembelajaran yang unik itu bukan sahaja bagi mempelajari mengenai sejarah pada Jun 1945 tetapi untuk mendengar sendiri kisah-kisah mengenai kehidupan di masa berkenaan daripada warga emas tempatan.

Oleh itu, beliau mengalu-alukan sekolah yang berminat untuk menghubungi Suruhanjaya Tinggi berkenaan bagi mengadakan lawatan istimewa ke pameran berkenaan dengan menghantar e-mel, austhicom.brunei@dfat.gov.au atau menghubungi talian 2229435.

Pameran itu adalah bersempena ulang tahun ke-70 pendaratan angkatan Australia di Borneo bagi membebaskan pulau berkenaan daripada jajahan Jepun semasa Perang Dunia ke-2, dengan mempamerkan gambar-gambar dan cerita oleh orang-orang lama yang melalui zaman berkenaan.

Pameran itu merupakan hasil kerjasama Suruhanjaya Tinggi Australia di Brunei Darussalam, UBD, James Cook University, Jabatan Muzium-Muzium Brunei, Jabatan Hal Ehwal Veteran Australia (DVA) dan Memorial Perang Australia di mana pameran berkenaan adalah dibuka bagi kunjungan orang ramai bermula pukul 9 pagi hingga 5 petang dari Sabtu hingga Khamis dan pada Jumaat dari pukul 9 pagi hingga 11.30 pagi serta pukul 2.30 petang hingga 5 petang.

Manakala itu, semasa bulan Ramadan, pameran dibuka pukul 9 pagi hingga 3 petang pada Sabtu hingga Khamis dan pada Jumaat dari pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari.