‘Abang Ali’ di mana?

‘Abang Ali’ di mana?

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Okt – Empat wanita Indonesia, hari ini, dijatuhi hukuman penjara oleh Mahkamah Majistret atas kesalahan tinggal secara tidak sah di Brunei Darussalam selepas pas yang dikeluarkan oleh pihak imigresen tamat tempoh.

Suwati, 32, dari Ngawi, Indonesia berdepan pertuduhan tinggal selama 201 hari di negara ini, dan dijatuhi enam bulan penjara.

Sementara Ruminah, 39, juga dari Ngawi, Indonesia dikenakan lima bulan penjara selepas mengaku bersalah tinggal selama 137 hari di negara ini.

Kedua-dua defendan bagaimanapun mengaku telah memberikan pasportnya kepada ‘Abang Ali’ dan membayarnya $50 untuk membantu mereka melanjutkan tempoh pas lawatan.

Majistret Kanan Lailatul Zubaidah binti Haji Mohd Hussain memerintahkan hukuman ke atas kedua-dua defendan bermula hari ini.

mahkamah

Dalam bilik mahkamah yang berasingan, Supriyatnah, 41, dari Desa Kali-salak, Jawa Tengah, Indonesia dijatuhi tiga bulan penjara dan denda $800 oleh Pemangku Majistret Kanan, Azrimah binti Haji Abdul Rahman atas kesalahan tinggal selama 119 hari di negara ini.

Pemangku Majistret memberi tempoh sehingga 31 Oktober untuk defendan membayar denda atau berdepan tambahan satu bulan penjara jika gagal membayar.

Defendan memberitahu dia berada di negara ini untuk tujuan mencari pekerjaan dan telah memberikan pasportnya kepada seseorang untuk memperbaharui tempoh lanjutan pas dengan membayar $50 namun gagal untuk mendapatkan semula pasportnya.

Sementara Rosnani Harun, 60, dari Desa Setiarasa, Jawa Barat, Indonesia dijatuhi empat bulan penjara kerana tinggal selama 510 hari di negara ini selepas pasnya mansuh pada 28 Mei 2014.

Keempat-empat defendan ditahan dalam serbuan oleh sepasukan penguatkuasa imigresen di bilik sewa di Kampung Tasek Meradun, dan kesemua mereka gagal menunjukkan sebarang dokumen perjalanan.