Abang Omran meninggal dunia akibat cedera parah

Abang Omran meninggal dunia akibat cedera parah

BEIRUT, 21 Ogos – Abang kepada kanak-kanak Syria yang dipaparkan duduk di dalam ambulans dalam keadaan yang berlumuran darah selepas serangan udara, meninggal dunia semalam akibat cedera parah selepas kediaman mereka musnah dalam satu serangan udara, kata kumpulan pemerhati.

“Ali, berusia 10, meninggal dunia akibat kecederaan yang dialaminya. Dia mengalami kecederaan yang teruk dalam pengeboman yang sama seperti Omran pada 17 Ogos di Aleppo,” Balai Cerap bagi Hak Asasi Manusia Syria berkata.

Imej Omran, 4 tahun dalam keadaan trauma dan berlumuran darah ketika duduk di belakang sebuah ambulans yang merebak pantas di media sosial seluruh dunia, menjadi simbol penderitaan kanak-kanak Syria dalam konflik ganas sejak lima tahun lalu itu.

Dalam rakaman video daripada insiden itu, Omran merenung ke angkasa sebelum menyapu tangannya ke dahinya yang berdarah. Omran, adik beradik dan ibu bapanya berjaya dikeluarkan dari runtuhan dalam keadaan cedera tetapi selamat susulan serangan bom di kejiranan Qaterji yang dikuasai pemberontak di timur Aleppo.

Pusat Media Aleppo, sebuah rangkaian aktivis di bandar terpisah dekat utara itu mengesahkan kematian Ali dalam sebuah video semalam.

Imej Omran yang kelihatan parah, terkejut dan hanya berdiam diri mencetus kemarahan global, sama seperti gambar mayat seorang kanak-kanak Syria, Aylan Kurdi, 3 September lalu yang ditemui terdampar di pantai Turki ketika bersama keluarganya untuk cuba masuk ke Eropah.

Lebih daripada 290,000 orang telah terbunuh sejak konflik Syria meletus, termasuk hampir 15,000 kanak-kanak

Bandar kediaman Omran, Aleppo telah dibahagikan kepada dua bahagian iaitu bahagian barat yang dikawal oleh kerajaan, sementara bahagian timur dikawal oleh pejuang pembangkang sejak 2012.

Pesawat perang rejim, disokong oleh tentera udara Rusia sejak September 2015, membedil daerah timur manakala kumpulan pemberontak menembak roket ke barat. – AFP