Abang tiri pemimpin Korea Utara dibunuh di M’sia

SEOUL, 14 Feb – Abang tiri pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Un telah dibunuh di Malaysia, agensi berita Korea Selatan, Yonhap melaporkan hari ini.

Agensi tersebut memetik satu sumber kerajaan Seoul sebagai berkata, Kim Jong-Nam telah dibunuh pada Isnin.

Sumber itu bagaimanapun tidak memberi butiran lanjut manakala pegawai-pegawai kerajaan di Seoul gagal dihubungi untuk ulasan.

Menurut stesen televisyen Korea Selatan, Chosun, Kim Jong-Nam, 45, diracun oleh dua perisik wanita yang tidak dikenali menggunakan jarum beracun di sebuah lapangan terbang di Kuala Lumpur.

Laporan itu yang memetik apa yang disebut pelbagai sumber kerajaan, menyatakan dua wanita tersebut mengambil sebuah teksi dan melarikan diri sejurus selepas itu.

Di Malaysia, Ketua Polis Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Penolong Pesuruhjaya Abdul Aziz Ali memberitahu AFP, seorang lelaki Korea berusia lingkungan 40an ditemui dalam keadaan lemah di lapangan terbang pada Isnin.

Pihak berkuasa lapangan terbang telah mengejarkannya ke hospital, tetapi dia meninggal dunia semasa dalam perjalanan, kata PPjP Abdul Aziz.

“Kami tidak mempunyai sebarang maklumat lanjut mengenai lelaki Korea ini. Kami tidak tahu identitinya,” kata beliau.

Kim Jong-Nam suatu ketika dahulu pernah dianggap sebagai bakal pewaris tetapi telah diketepikan oleh ayahnya Kim Jong-Il susulan satu cubaan tidak senonoh untuk memasuki Jepun pada 2001 menggunakan pasport palsu dan melawat Disneyland.

Sejak itu, dia tinggal seolah-olah dalam buangan, sebahagian besarnya di wilayah Macau, China. Kim Jong-Nam dikenali sebagai pejuang pembaharuan di Korea Utara. – AFP