Abbas mahu sokongan Rusia terhadap Baitulmaqdis

MOSCOW, 12 Feb – Presiden Palestin Mahmud Abbas melawat Rusia hari ini dalam usaha beliau untuk mendapatkan sokongan daripada Presiden Rusia Vladimir Putin berikutan pengiktirafan Washington terhadap Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Pemimpin Palestin itu telah dijadualkan berkunjung ke Moscow dua minggu selepas kunjungan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu ke negara itu.

Abbas telah menolak sebarang hubungan dengan pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sejak pengiktirafan Washington terhadap Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel pada akhir tahun lalu.

Abbas akan dijadualkan untuk berucap di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada 20 Februari ini.

Palestin melihat keputusan AS itu sebagai penafian tuntutan mereka ke atas Timur Baitulmaqddis sebagai ibu kota negara Palestin.

Mahmud Abbas ketika mengadakan sidang media bersama Perdana Menteri India di West Bank bandar Ramallah pada 10 Februari 2018. Abbas melawat Rusia semalam dalam usahanya untuk mendapatkan sokongan Rusia berikutan pengiktirafan Washington terhadap Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel. – AFP

Israel menguasai Timur Baitulmaqdis pada Perang Enam Hari 1967, menggabungkannya dan kemudian mengisytiharkannya sebagai ibu kota Israel yang tidak boleh dipisahkan.

Duta AS ke PBB, Nikki Haley, menuduh Abbas tidak mempunyai keberanian yang diperlukan untuk menjalin kesepakatan damai dengan Israel.

Namun, Abbas telah menolak sebarang usaha damai oleh Washington dalam konflik Israel-Palestin dan telah bersumpah kepada rakyatnya untuk berusaha ke arah pengiktirafan penuh terhadap sebuah negara Palestin oleh PBB.

Alexander Schumilin, seorang sarjana Timur Tengah di Institut Pengajian Amerika dan Kanada, menggatakan lawatan Abbas “percubaan untuk bersatu dengan Rusia, sekutu konsisten mereka dan menghentikan Netanyahu dari menghasuti Moscow semasa peningkatan hubungan Rusia-Israel”.

Netanyahu melawat Rusia pada 29 Januari lepas dan bersama Putin menghadiri majlis peringatan di Muzium Yahudi di Moscow untuk mangsa kem Nazi. Dia mengambil peluang untuk menuduh Iran mahu ‘memusnahkan’ mereka.

Sebaliknya, presiden Rusia menyamakan anti-Yahudi dengan ‘Russophobia’ dan mengatakan Rusia dan Israel ‘bekerjasama rapat’, khususnya terhadap ‘percubaan untuk memalsukan sejarah’. – AFP