Abbott enggan ulas isu bayar pencari suaka

Abbott enggan ulas isu bayar pencari suaka

SYDNEY, 12 Jun (Reuters) – Perdana Menteri Australia Tony Abbott hari ini enggan mengulas tentang laporan bahawa tentera laut Australia telah membayar sekumpulan penyeludup manusia, beribu-ribu dolar untuk menukar haluan bot mereka yang membawa pencari-pencari suaka.

Australia sebelum ini berikrar menahan pencari suaka dari mendarat kepesisirnya, mengundurkan bot-bot kembali ke Indonesia apabila ia boleh dan menghantar pencari suaka ke khemah-khemah di Papua New Guinea dan Nauru bagi penahanan jangka masa panjang.

Minggu ini, media di Australia dan Indonesia melaporkan bahawa penyeludup manusia yang membawa 65 pencari suaka di dalam bot mereka dibayar kira-kira A$5,000 setiap seorang supaya menghentikan perjalanan mereka ke Australia dan kembali ke Indonesia selepas dipintas di laut.

Menteri Luar Australia, Julie Bishop dan Menteri Imigresen Peter Dutton telah menafikan laporan itu, tetapi Abbott enggan berbuat demikian dengan alasan keselamatan operasi.

Tony Abbott (tengah) dan Menteri Luar Julie Bishop (kanan) ketika beramah mesra dengan pada delegasi Kemuncak Memerangi Keganasan Serantau di Sydney. – AFP
Tony Abbott (tengah) dan Menteri Luar Julie Bishop (kanan) ketika beramah mesra dengan pada delegasi Kemuncak Memerangi Keganasan Serantau di Sydney. – AFP

“Kami tidak memberi butiran tentang langkah operasi untuk memerangi jenayah, kami tidak memberi butiran tentang langkah operasi bagi keselamatan negara, dan saya pasti tidak akan memberi butiran tentang perkara operasi di perairan kini,” Abbott memberitahu para wartawan.

Jurucakap kementerian luar Indonesia Armanatha Nasir memberitahu para pemberita kapten kapal pencari suaka ditahan atas dakwaan berkaitan penyeludupan manusia.

Akhbar Investor Daily hari ini memetik Nasir sebagai berkata kapten dan krewnya memberitahu bahawa mereka telah dibayar $5,000 setiap seorang untuk mengundurkan haluan kapal.

Para pegawai pengawal pantai Australia yang menahan bot yang menyeludup manusia, telah meletakkan wang dalam enam beg plastik hitam dan menyerahkannya, Nasir memetik kapten sebagai berkata.

ARTIKEL YANG SAMA