ABCNS bukti komitmen berterusan

ABCNS bukti komitmen berterusan

KOTA KINABALU, 16 Jun (Bernama) – Pemberian Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah (ABCNS) merupakan bukti komitmen berterusan kerajaan negeri menerusi Kumpulan Yayasan Sabah (KYS) dalam memacu kecemerlangan pendidikan dan kesungguhan melahirkan modal insan cemerlang, kata Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.

Beliau berkata kerajaan negeri sentiasa melipat gandakan usaha bagi memastikan lebih banyak rakyat Sabah mendapat peluang meningkatkan pendidikan termasuk menyediakan peruntukan besar serta membangunkan infrastruktur pendidikan seperti University College Sabah Foundation (UCSF).

“Sebagai kerajaan yang peka dengan kehendak rakyat, kita berusaha untuk menyediakan pelbagai insentif berbentuk dana seperti biasiswa dan pinjaman kepada pelajar.

“Kerajaan persekutuan turut bersama-sama kerajaan negeri menyediakan peruntukan besar bagi membolehkan aktiviti dan program sektor pendidikan dan pembangunan modal insan berjalan lancar di negeri ini,” katanya pada majlis penyampaian ABCNS ke-26 di sini, hari ini.