ABDB hantar pasukan IMT, MALBATT

ABDB hantar pasukan IMT, MALBATT

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Ogos – Negara Brunei Darussalam sekali lagi telah diberikan amanah dan tanggungjawab untuk menggalas misi keamanan dunia di bawah naungan Pasukan Pemantau Antarabangsa (IMT) dan Pasukan Interim Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL).

Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini, menjelaskan, Kontinjen IMT ke-12 itu akan diketuai oleh Lt Kol Azman bin Haji Bangkol dengan disertai lapan orang anggota ABDB dan seorang anggota Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB).

Manakala itu, seramai 29 orang anggota ABDB yang diketuai oleh Kapt Mohammad Faizi bin Haji Tarif akan diserapkan di dalam Batalion Malaysia 850-3 (MALBATT 850-3) yang dikerahkan ke Lubnan melaksanakan tugas-tugas keamanan bersama kontinjen Malaysia.

Doa selamat bagi memberkati anggota ABDB dalam misi pengaman
Doa selamat bagi memberkati anggota ABDB dalam misi pengaman
Yang Dimuliakan Pehin Mohd Tawih berjabat tangan dengan anggota yang akan menyertai misi pengaman
Yang Dimuliakan Pehin Mohd Tawih berjabat tangan dengan anggota yang akan menyertai misi pengaman

Sehubungan itu, majlis doa selamat bagi anggota yang akan berlepas ke destinasi masing-masing diadakan di Surau Kementerian Pertahanan di Bolkiah Garison, hari ini. Hadir di majlis itu ialah Pemerintah ABDB, Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd Tawih bin Abdullah.

Turut hadir ialah Penolong Pesuruhjaya Polis, Haji Mohd Don bin Haji Harith selaku wakil Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei; ahli-ahli eksekutif pertahanan; para pengarah tentera dan awam serta pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Pertahanan dan ABDB.

Majlis itu bertujuan memohon doa bagi keselamatan para pegawai dan anggota semasa berada di kawasan bergolak dan kesejahteraan mereka dalam menjalankan tugasan.

ARTIKEL YANG SAMA