ABDB hulur derma kepada 138 anak yatim

ABDB hulur derma kepada 138 anak yatim

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Julai – Seramai 138 anak yatim daripada 64 keluarga bekas anggota-anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) telah menerima sumbangan derma pagi tadi dalam Majlis Sentuhan Kasih Ramadan ABDB yang berlangsung di Surau Berakas Garison.

Sumbangan berkenaan telah disampaikan oleh Pemerintah ABDB, Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd Tawih bin Abdullah.

Manakala sumbangan daripada Badan Kebajikan Isteri-Isteri ABDB (BAKTI) disampaikan oleh isteri Pemerintah Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB) juga selaku Yang Di-Pertua Badan Kebajikan Isteri-Isteri ABDB (BAKTI), Datin Hajah Rashidah binti Haji Brahim,

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Yasin dan Tahlil beramai-ramai diikuti dengan bacaan Doa Arwah yang diketuai oleh Penolong Ketua Jabatan Agama ABDB (JAMA’AT), Mejar Ariffin bin Amit @ Hamid.

Ramadan bukan hanya menahan diri daripada makan dan minum untuk memenuhi kewajipan ibadah berpuasa tetapi juga untuk mengambil peluang membangunkan kembali hubungan keluarga dan mencetus hubungan dengan masyarakat.

Yang Dimuliakan Pehin Mejar Jeneral Mohd Tawih menyampaikan sumbangan derma kepada anak-anak yatim.
Yang Dimuliakan Pehin Mejar Jeneral Mohd Tawih menyampaikan sumbangan derma kepada anak-anak yatim.

Ianya juga adalah bulan untuk meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata’ala (S.W.T) di samping membantu mereka yang kurang bernasib baik bagi meraih rahmat dan nikmat Allah S.W.T.

Setiap tahun di bulan Ramadan, ABDB mengungkayahkan acara berkebajikan seperti Majlis Sentuhan Kasih Ramadan yang bertujuan untuk mengenang jasa bakti warga ABDB yang telah kembali ke rahmatullah.

Acara tahunan itu juga bertujuan untuk meringankan beban kewangan yang dihadapi oleh anak-anak yatim bagi persiapan mereka dalam menyambut kedatangan sambutan Hari Raya Aidilfitri. Ini mencerminkan sikap penyayang dan budaya beramal yang harus ditingkatkan terhadap golongan anak-anak yatim. Aktiviti sosial dan kebajikan seperti ini juga bertujuan untuk meningkatkan tanggungjawab sosial.

Sumbangan derma adalah hasil kutipan daripada Tabung Kebajikan ABDB, anggota-anggota ABDB, Badan Kebajikan Isteri-Isteri ABDB (BAKTI), Korperasi ABDB (KOWIRA) dan juga penderma-penderma perseorangan.

Turut hadir di majlis ini ialah pemerintah-pemerintah angkatan tentera, komandan-komandan, pengarah-pengarah, pegawai-pegawai ABDB, Pegawai Tidak Bertauliah Kanan dan PTB-PTB Rendah serta keluarga anak-anak yatim.

ARTIKEL YANG SAMA