ABDB kukuh cengkaman

ABDB kukuh cengkaman

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Sept – MS ABDB mengukuhkan cengkaman di puncak Liga Super DST 2015 apabila menjinakkan Wijaya FC 4-1 dalam aksi pembuka tirai pusingan kedua liga semalam.

Abdul Azizi bin Ali Rahman membuka tirai jaringan di Kompleks Sukan Berakas itu pada minit ke-22 apabila menerkam bola melantun di dalam petak lawan mendahului penjaga gol Wijaya.

Ketua Pasukan Awangku Mohd Safri bin Pengiran Haji Othman menggandakan pendahuluan ABDB dua minit kemudian dengan voli kencang melencong ke kanan, menjauhi dari tangan penjaga gol Wijaya yang terbang ke kiri sebelum menggegar gawang atas sebelah kiri.

ABDB terus selesa apabila giliran Razimie bin Ramli pula menjaringkan gol pada minit ke-39 dengan lorongan mudah hasil hantaran lintang rendah rakannya di sayap kanan ke sebelah kiri gawang.

Pendahuluan 3-0 ABDB kekal sehingga rehat, namun sebaik babak kedua bermula, Wijaya bermula garang sehingga berjaya membolosi gawang ABDB tiga minit kemudian menerusi sepakan penalti Marhazif bin Ahad sekali gus merapatkan jurang kepada 1-3.

Persaingan antara pemain ABDB (kuning) dengan Wijaya semasa tendangan sudut.
Persaingan antara pemain ABDB (kuning) dengan Wijaya semasa tendangan sudut.

Razimie berjaya mengembalikan semula pendahuluan ABDB pada minit ke-69 untuk gol kedua peribadi dan ternyata jaringan itu menjadi gol terakhir perlawanan untuk keputusan muktamad, ABDB 4 dan Wijaya 1.

Kemenangan itu membolehkan ABDB membuka pendahuluan ke atas pasukan di tangga kedua, Indera SC, kepada lapan mata di puncak liga selepas mengharungi 10 perlawanan, dengan juara bertahan Indera SC kekal 19 mata daripada sembilan permainan.

Wijaya turut kekal di tangga keempat dengan 17 mata, satu mata di belakang Najip di tempat ketiga, yang baru melalui sembilan perlawanan.