ABDB peduli kebajikan anggota

ABDB peduli kebajikan anggota

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Julai – Kebajikan anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) serta keluarga mereka terus diambil berat oleh pihak ABDB apabila seramai 77 orang anak istimewa anggotanya diraikan dan menerima sumbangan di Majlis Penyampaian Sumbangan yang berlangsung di Dewan Punai, Pangkalan Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB), Rimba, hari ini.

Hadir untuk menyempurnakan penyampaian sumbangan bersempena Sambutan Hari Ulang Tahun ABDB ke-54 itu ialah Pemerintah ABDB, Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd Tawih bin Abdullah.

Turut hadir ialah pemerintah-pemerintah angkatan tentera, para pegawai ABDB dan ibu bapa, penjaga serta ahli keluarga anak-anak istimewa yang diraikan.

Sumbangan yang dihulurkan adalah berbentuk wang tunai dan hadiah daripada Koperasi ABDB dengan Tanggungan Berhad (KOWIRA), Restoran dan Katering Ya-Nur, Pasukan Bomba Tentera Udara Diraja Brunei dan sumbangan daripada BAKTI.

Ibu bapa anak-anak istimewa yang diraikan di majlis itu, mengongsikan rasa syukur dan penghargaan mereka terhadap semua penyumbang yang berbesar hati menghulurkan sumbangan yang amat bermakna bagi anak-anak mereka.

Pehin Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd Tawih menyampaikan sumbangan kepada anak-anak istimewa anggota ABDB di majlis berkenaan.
Pehin Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd Tawih menyampaikan sumbangan kepada anak-anak istimewa anggota ABDB di majlis berkenaan.

pg05_150801_b

Sumbangan itu bukan sahaja satu anugerah yang penuh bermakna bagi mereka tetapi merupakan pendorong bagi mereka dan anak-anak istimewa berkenaan bahawa kebajikan mereka terus mendapat perhatian daripada anggota ABDB dan juga para penyumbang.

Acara itu merupakan salah satu kegiatan kemasyarakatan yang diadakan setiap tahun bersempena dengan Hari Ulang Tahun ABDB sebagai tanda pemedulian dan keprihatinan ABDB terhadap anak-anak istimewa berkenaan serta komitmen terhadap kebajikan masyarakat yang memerlukan pertolongan.

Dengan adanya sumbangan itu, sekurang-kurangnya akan dapat memberikan semangat dan pendorong dalam membentuk masyarakat penyayang terutamanya generasi muda untuk melahirkan modal insan yang sempurna.

ARTIKEL YANG SAMA