ABDB promosi gaya hidup sihat

ABDB promosi gaya hidup sihat

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 10 Mei – Dalam usaha mempromosikan gaya hidup sihat dan salah satu inisiatif kemasyarakatannya kepada orang ramai terutamanya penduduk di pedalaman, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) telah menganjurkan Jerayawara Kesihatan dan Pergigian di Dewan Serba guna Kampung Labi, Kampung Labi II dekat sini hari ini.

Jerayawara sempena Hari Ulang Tahun ABDB ke-54 tahun, itu juga bagi memastikan anggota ABDB turut sama turun padang dalam kegiatan kemasyarakatan dengan memberikan perkhidmatan perubatan dan pergigian asasi percuma kepada penduduk kampung.

Jerayawara telah dimulakan dengan ucapan alu-aluan pengerusi majlis, diikuti penyampaian cenderahati, senamrobik dan diteruskan dengan aktiviti promosi kesihatan.

Lebih 50 orang anggota daripada Khidmat Perubatan, Khidmat Pergigian dan Pusat Optima Kecergasan Tentera ABDB dengan bantuan unit-unit Khidmat Bantuan Kombat Tentera Darat Diraja Brunei melibatkan diri dalam jerayawara tersebut.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemangku Penghulu Mukim Labi Awang Hanapi bin Mohd Siput. Hadir sama ialah Ketua Kampung Labi II, Haji Metusin bin Mat Zin, Pemangku Komandan Khidmat Bantuan Kombat, Tentera Darat Diraja Brunei Kolonel Dr Hafizul bin Haji Awang Hassan, dan Pegawai Pemerintah Batalion Ketiga, Tentera Darat Diraja Brunei Lt Kol Haji Mohammad Shanonnizam bin Sulaiman.

Pemeriksaan kesihatan diberikan kepada penduduk kampung yang hadir.
Pemeriksaan kesihatan diberikan kepada penduduk kampung yang hadir.

Pengerusi jerayawara tersebut, Pegawai Tadbir Khidmat Pergigian ABDB Mejar Mohammad Azhan bin Haji Ahmad memberitahu Media Permata, beberapa aktiviti kesihatan termasuklah pemeriksaan Body Mass Index (BMI), tekanan darah tinggi, darah gula, suntikan JE dan konsultasi bersama pegawai doktor perubatan.

“Turut diadakan adalah pemeriksaan dan rawatan pergigian oleh pegawai doktir pergigian dan rawatan asas pergigian termasuk mencabut, menampal, membersihkan dan membaiki gigi palsu,” katanya.

Penduduk kampung dari Kampung Labi I dan Labi II, Kampung Bukit Sawat, Kampung Teraja dan Kampung Mendaram Besar juga berpeluang menyaksikan demonstrasi rawatan kecemasan dan Basic Lif Support (BLS) daripada ahli paramedik ABDB serta taklimat promosi kesihatan pergigian dan mulut .

Mereka yang hadir terutama kanak-kanak turut dihiburkan dengan persembahan boneka mengenai kesihatan pergigian dan tunjuk ajar pembersihan gigi seharian dengan betul.

ARTIKEL YANG SAMA