ABDB rai anak yatim

ABDB rai anak yatim

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Jun – Dalam menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang, nasib anak-anak yatim terus diberikan perhatian dan pemedulian.

Seramai 115 orang anak yatim daripada 62 keluarga bekas anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) menerima sumbangan derma dan diraikan dalam Majlis Sentuhan Kasih Ramadan ABDB yang berlangsung di Surau Berakas Garison, hari ini.

Sumbangan disampaikan oleh Pemerintah ABDB, Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd Tawih bin Abdullah.

Di dalam majlis itu juga, sumbangan daripada Badan Kebajikan Isteri-isteri ABDB (BAKTI) disampaikan oleh isteri Timbalan Pemerintah ABDB dan Pemangku Yang Dipertua Badan Kebajikan BAKTI, Datin Sakdiah binti Haji Mohd Noor.

Derma sentuhan kasih kepada anak-anak yatim itu adalah sebagai tanda kasih ingatan dan jasa bakti serta sumbangan ibu bapa mereka ketika berkhidmat di dalam ABDB. Turut hadir ialah Timbalan Pemerintah ABDB, para pemerintah tentera dan komandan, pengarah-pengarah, para pegawai tentera ABDB, ahli-ahli Badan Kebajikan BAKTI serta keluarga anak-anak yatim berkenaan.

pg01_150627_a

pg01_150627_b

Antara yang hadir di majlis itu, kelmarin.
Antara yang hadir di majlis itu, kelmarin.

Majlis itu merupakan kegiatan kebajikan yang diadakan sebagai tanda keprihatinan, semangat beramal dan bersedekah warga ABDB kepada anak-anak yatim.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Yasin dan Tahlil beramai-ramai diikuti dengan bacaan doa arwah yang dipimpin oleh Penolong Ketua Jabatan Agama ABDB (JAMA’AT), Kapten Ariffin bin Amit @ Hamid.

Anak-anak yatim di majlis berkenaan dinasihati untuk bersabar dan berdoa di dalam menghadapi cabaran kehidupan dan berusaha bagi mencapai kejayaan.

Mereka juga disarankan untuk bersikap berdikari dan berusaha bersungguh-sungguh supaya dapat menjadi insan yang berilmu, bertakwa dan beriman di dalam menghadapi cabaran era globalisasi.

Setiap tahun dalam bulan Ramadan, ABDB mengungkayahkan acara berkebajikan seperti Majlis ‘Sentuhan Kasih Ramadan’ dengan tujuan untuk mengenang jasa bakti warga ABDB yang telah kembali ke rahmatullah dan secara tidak langsung meringankan beban anak-anak yatim dalam membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Dalam waktu yang sama, ia juga mencerminkan sikap prihatin dan budaya bersedekah agar dapat terus ditingkatkan terhadap anak-anak yatim selain untuk menambahkan amal ibadat dalam kalangan warga ABDB.

Sumbangan merupakan hasil kutipan daripada Tabung Kebajikan ABDB, anggota ABDB, Badan Kebajikan BAKTI, Koperasi ABDB (KOWIRA) dan penderma-penderma perseorangan.

ARTIKEL YANG SAMA