ABDB siap baik pulih surau di Kg. Melilas

ABDB siap baik pulih surau di Kg. Melilas

KUALA BELAIT, 30 Jun – Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) telah menyiapkan satu projek amal dengan membaiki surau di Kampung Melilas, Daerah Belait. Sijil penyiapan projek tersebut diserahkan oleh Pemerintah ABDB, Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd Tawih bin Abdullah kepada Pemangku Penghulu Mukim Melilas, Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Dewa Haji Mohd Ali bin Abdullah Itam hari ini.

Kementerian Pertahanan dalam kenyataannya berkata, kerja-kerja pembinaan yang dijalankan di Surau Kampung Melilas di bawah Projek Titian Amal ABDB, termasuk pembinaan ruang yang luas di pintu masuk surau tersebut, penggantian bumbung baru, pemasangan lampu, mengecat surau dan tandas. Pembaikan juga termasuk membersihkan kawasan perkarangan surau.

Projek pembinaan yang bermula pada 18 April 2016 telah diketuai oleh Skuadron Jurutera Tempur Batalion Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB), manakala keperluan tenaga kerja tambahan telah disediakan oleh anggota TDDB.

Gambar suasana surau di Kampung Melilas, Daerah Belait.
Gambar suasana surau di Kampung Melilas, Daerah Belait.
Semasa lawatan dijalankan.
Semasa lawatan dijalankan.

Projek tersebut telah diungkayahkan bersempena memperingati Ulang Tahun ABDB ke-55. Berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya di mana ABDB menyediakan bantuan untuk rumah individu, projek amal pada tahun ini memberi tumpuan kepada pusat komuniti yang memerlukan pembinaan dan membaik pulih.

Dengan adanya surau yang baru diubahsuai ini, masyarakat tempatan kini dapat menunaikan solat berjemaah dan menjalankan aktiviti keagamaan.

Usaha kebajikan ini juga merupakan salah satu tanggungjawab sosial ABDB dalam mendedahkan kemahiran anggota tentera kepada orang ramai terutamanya dalam pertukangan, pembinaan dan kerja-kerja berpasukan.

ARTIKEL YANG SAMA