Abdul Azizi wira MS ABDB

Abdul Azizi wira MS ABDB

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Okt – Soldadu Abdul Azizi bin Ali Rahman mengesahkan tiga mata buat MS ABDB dengan dua golnya dalam tempoh 12 minit terakhir perlawanan bagi memecahkan kekebalan pertahanan Tabuan Muda yang pada separuh masa pertama hanya melepaskan satu gol.

MS ABDB hanya mendahului 1-0 selepas jaringan Soldadu Affendy bin Haji Akup pada minit ke-32, namun selepas itu terkial-kial menambahkan jaringannya yang dilihat membuka ruang harapan buat Tabuan Muda sekurang-kurangnya mendapatkan gol penyamaan.

Babak kedua perlawanan di Padang & Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) itu terus ketandusan gol sehinggalah Soldadu Abdul Azizi mencapai misinya dengan ledakan jaringan pada minit ke-78 untuk pendahuluan 2-0 MS ABDB ke atas Tabuan Muda.

MS ABDB terus kukuh di persada Liga Super DST 2015 dengan kemenangan mutlak 3-0 ke atas Tabuan Muda.
MS ABDB terus kukuh di persada Liga Super DST 2015 dengan kemenangan mutlak 3-0 ke atas Tabuan Muda.

Melihat jaringan itu masih lagi belum mampu mengukuhkan pendahuluannya, Soldadu Abdul Azizi berjaya mencipta ruang untuknya merembat masuk bola tepat ke sasaran untuk gol ketiga dan terakhir MS ABDB tatkala masa sebenar hanya berbaki satu minit.

Kemenangan terus mengukuhkan kedudukan MS ABDB di puncak Liga Super DST 2015 dengan 36 mata dari 13 perlawanan, hanya kurang tiga mata dari mata maksimum yang dapat dicapainya sekali gus menjarakkan lapan mata antaranya dengan Indera SC di tangga kedua yang baru bermain 12 kali.

Tabuan Muda pula kekal di tempat keenam dengan 21 mata dari 13 permainan.