Abdulla pecat menteri pertahanan

Abdulla pecat menteri pertahanan

COLOMBO, 14 Okt – Presiden Maldives Abdulla Yameen telah memecat menteri pertahanan beliau, selepas kesilapan kecil keselamatan yang dikatakan mengakibatkan cubaan membunuh pemimpin itu, menurut jurucakapnya hari ini.

Jurucakap pejabat presiden, Ibrahim Muaz Ali mengumumkan pemecatan Menteri Pertahanan Moosa Ali Jaleel melalui Twitter, tetapi tidak memberikan butiran lanjut. Kerajaan belum lagi mengumumkan penggantinya.

“Presiden telah memecat Menteri Pertahanan Moosa Ali Jaleel,” jurucakap itu menyatakan melalui Twitter dalam bahasa Maldive, Dhivehi.

Ia menyusuli rombakan para pegawai utama keselamatan selepas letupan 28 September di atas bot Yameen, ketika beliau hendak turun di bandar pulau itu, Male. Pemimpin Maldives itu telah memberkas dua kakitangan keselamatan yang telah memasuki bot Yameen tetapi belum mendedahkan punca letupan itu.

Jaleel telah dilantik menduduki jawatannya itu pada Januari sejurus selepas pemecatan menteri sebelumnya, Mohamed Nazim yang telah dibicarakan dan disabitkan dengan kesalahan menyeludup dadah dan dipenjara 11 tahun.

Pada Julai lalu, Presiden Yameen telah meraih sokongan parlimen untuk mendakwa seorang lagi bekas sekutunya, iaitu timbalan presiden beliau, Mohamed Jameel. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA