Abe akhiri la...

Abe akhiri lawatan ke Filipina

DAVAO, Filipina, 13 Jan – Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe sedang dalam perjalanan ke Australia hari ini selepas satu lawatan ke Filipina di mana beliau menjanjikan peluang perniagaan dan pelaburan persendirian bernilai AS$8.7 bilion serta peralatan untuk memerangi keganasan.

Beliau berlepas ke Sydney dari selatan bandar Davao, kampung halaman Presiden Rodrigo Duterte, di mana kedua-duanya menikmati sarapan sup kacang dan pulut di kediaman Duterte dalam usaha untuk memperkukuh hubungan peribadi.

Abe dan Duterte juga menghadiri satu majlis untuk menamakan burung helang terancam di Filipina Sakura, atau bunga sakura, sebagai penghormatan kepada Abe. Kedua-dua pemimpin dan isteri mereka memakan buah durian di sebuah taman di hotel manakala penari membuat persembahan dengan iringan pukulan gong.

Abe dan isterinya, Akie, disambut selepas itu oleh pelajar yang melambaikan bendera kecil Filipina dan Jepun dan menyanyi lagu kebangsaan Jepun di Mindanao Kokusai Daigaku, sebuah sekolah yang ditubuhkan oleh keturunan Jepun yang menetap di Davao sebelum Perang Dunia Kedua.

Semalam, di Manila Abe mengalu-alukan usaha Duterte untuk merangsang hubungan dengan Beijing ekoran kemenangan Filipina dalam keputusan penimbang tara yang mengisytiharkan tuntutan China ke atas Laut China Selatan sebagai tidak sah.

Shinzo Abe (dua, kiri) menunjukkan patung helang Filipina ketika Rodrigo Duterte (kanan) menepuk tangan semasa majlis penamaan helang Filipina di Bandar Davao di pulau selatan Mindanao pada 13 Januari. – AFP
Shinzo Abe (dua, kiri) menunjukkan patung helang Filipina ketika Rodrigo Duterte (kanan) menepuk tangan semasa majlis penamaan helang Filipina di Bandar Davao di pulau selatan Mindanao pada 13 Januari. – AFP

China enggan mengiktiraf keputusan penimbang tara pada Julai dan telah mengingatkan Amerika Syarikat dan negara lain supaya jangan campur tangan dalam perbalahan, yang mana Beijing ingin menyelesaikannya menerusi rundingan bersama pihak menuntut lain seperti Filipina.

Bagaimanapun, Abe berkata “isu Laut China Selatan adalah berkaitan langsung dengan keamanan dan kestabilan serantau dan telah menimbulkan kebimbangan kepada seluruh komuniti antarabangsa.”

Lawatan dua hari beliau yang bertujuan memperkukuhkan hubungan dengan Filipina pada masa Duterte rapat dengan China dan Rusia sementara mengambil dasar bermusuhan dengan sekutu utama Tokyo, Amerika Syarikat.

Jepun adalah antara rakan perniagaan utama Filipina dan salah sebuah pembekal bantuan terbesarnya.

Ia merupakan persinggahan pertama Abe dalam lawatan empat buah negara tatkala beliau berusaha merangsang penglibatan perdagangan dan keselamatan Jepun di tengah kebangkitan China di Asia. Selepas Australia, beliau melawat Indonesia dan Vietnam. – AP